JOHOR BAHRU: Seorang pengarah urusan syarikat dan seorang jurutera yang ditahan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) Johor semalam, direman enam hari bermula hari ini.

Tempoh reman sehingga 15 Jan itu dikeluarkan oleh Majistret Nurmardiana Mamat di Mahkamah Majistret, di sini hari ini.

Lelaki berusia 41 dan 52 tahun itu ditahan pukul 7 malam semalam (Ahad) di pejabat SPRM Johor Bahru kerana disyaki mengemukakan tuntutan palsu bagi projek pembinaan jambatan sementara di Segamat, bernilai lebih RM250,000, enam tahun lepas.

Menurut sumber, pada 2016 hingga 2020, kedua-dua individu itu dipercayai telah bersubahat dalam mengemukakan dan memperakukan tuntutan palsu kepada sebuah jabatan kerajaan di daerah Segamat, bagi projek pembinaan jambatan sementara bernilai lebih RM4 juta, sedangkan kerja-kerja tersebut tidak dilaksanakan.

Pengarah SPRM Johor Datuk Azmi Alias ketika dihubungi mengesahkan penahanan itu dan berkata kes disiasat di bawah Seksyen 18 Akta SPRM 2009.

-- BERNAMA