KUALA LUMPUR : Pengasas Bersama Undi18, Qyira Yusri dilantik sebagai Penasihat Khas Belia kepada Pesuruhjaya Kesatuan Eropah (EU) Jutta Urpilainen.

Beliau menggantikan Bitania Lulu Berhanu dari Ethopia, yang menjadi belia pertama memegang jawatan itu pada tahun lalu.

Dalam satu kenyataan, Suruhanjaya Eropah berkata, Qyira akan membantu membentuk dasar kerjasama antarabangsa EU khususnya dalam memberi nasihat tentang pemerkasaan belia dan penyertaan politik.

"Kepakaran yang beliau miliki akan menyumbang kepada tindakan luar EU yang lebih partisipasi, relevan, dan berkesan untuk orang muda," kata kenyataan pada Jumaat. 

Sepanjang menerajui Undi18, Qyira juga banyak memperjuangkan isu seperti pendidikan pengundi, hak asasi manusia, pembaharuan dasar dan pembangunan kepimpinan.

Komitmennya terhadap isu sosial membolehkan Qyira diiktiraf dalam Forbes Asia 30 under 30 melalui Kategori Impak Sosial 2020.

Beliau memiliki Ijazah Sarjana Muda dalam Pengajian Komunikasi serta Pengajian Jantina dan Wanita dari  Western Michigan University.