JOHOR BAHRU: Seorang suri rumah dihadapkan ke Mahkamah Sesyen Johor Bahru atas pertuduhan mengabaikan anak asuhan pada bulan Mac lalu.

Tertuduh, Nor Huzaimah Herman, 31, bagaimanapun tidak mengaku bersalah atas pertuduhan itu di hadapan Hakim Datuk Ahmad Kamal Arifin Ismail, selepas pertuduhan dibacakan.

Mengikut kertas pertuduhan, Nor Huzaimah didakwa mengabaikan sehingga menyebabkan kecederaan fizikal terhadap kanak-kanak perempuan berusia 3 tahun di bawah peliharaannya.

Kesalahan itu didakwa dilakukan di kediaman Projek Perumahan Rakyat (PPR) Pelangi Indah pada 21 Mac lalu, kira-kira jam 11.30 pagi.

Kes didakwa mengikut Seksyen 31(1)(a) Akta Kanak-Kanak 2001.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Nurul Syafiqah Sha'ari dan Nurhayati Muhammad Fathullah.

Manakala tertuduh diwakili peguam R.Sangaran dan Alan Lim.

Mahkamah menetapkan jaminan RM5,000 selepas mengambil kira rayuan tertuduh yang mempunyai empat anak bersekolah selain suami hanya bekerja sebagai seorang buruh dengan pendapatan RM2,000 sebulan.

Mahkamah turut meminta tertuduh melapor diri di Balai Polis Pelangi Indah sekali setiap bulan.

Makhamah turut menetapkan 3 Julai sebagai tarikh penyerahan laporan bedah siasat dan laporan kimia.