ISU kecuaian, pengabaian dan penderaan bayi dan kanak-kanak oleh pengasuh, taman asuhan kanak-kanak (taska) dan pusat jagaan sering kali berlaku bagaikan tiada berkesudahan. Lebih meruntun hati apabila ada yang tergamak bertindak kejam memperlakukan bayi dan kanak-kanak sehingga meragut nyawa mereka.

Artikel ini mengupas kesan emosi dan psikologi terhadap kanak-kanak yang diletakkan di bawah pengasuh, taska atau pusat jagaan tidak berdaftar serta faktor lambakan operasi dan premis yang tidak berdaftar.

Terdapat beberapa faktor yang mempengaruhi emosi, psikologi dan tumbesaran kanak-kanak yang diletakkan di rumah pengasuh, taman asuhan kanak-kanak (taska) atau pusat jagaan berdaftar, berbanding dengan yang tidak berdaftar.

Berkongsi perspektif mengenai faktor berkenaan, Pakar Psikologi Kanak-Kanak Universiti SEGi Prof Datin Dr Mariani Md Nor antaranya mengutarakan suasana persekitaran fizikal yang lebih kondusif, bersih dan selamat di samping aktiviti harian disusun secara sistematik dan berjadual bagi proses perkembangan kanak-kanak.

Beliau juga berpandangan, pemakanan yang disediakan mengikut menu yang sesuai untuk kanak-kanak itu juga mempunyai pengaruh dan perlu dititikberatkan.

Dalam masa yang sama, Dr Mariani berkata, pengasuh, taska dan pusat jagaan berdaftar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM) bagi memastikan keselamatan dan kesihatan kanak-kanak terjamin sepanjang tempoh jagaan mereka.

Menurut beliau, senario ini pastinya berbeza dengan pengasuh, taska dan pusat jagaan yang tidak berdaftar kerana mereka tidak terikat dengan sebarang SOP atau peraturan.

"Tidak dinafikan ada pengasuh yang baik, berpengalaman dan mempunyai latar belakang pendidikan awal kanak-kanak, namun ia banyak bergantung kepada 'nasib'.

"Alhamdulillah jika ada ibu bapa yang mendapat pengasuh sedemikian. Secara tidak langsung, ini dapat mengurangkan sebarang risiko kejadian buruk berlaku kepada anak-anak mereka.

"Namun begitu, lazimnya dalam persekitaran yang tidak kondusif dan keadaan bebas tanpa peraturan di bawah penjagaan tidak bertauliah, perkembangan fizikal dan emosi kanak-kanak serta sosialisasi mereka pastinya berbeza," katanya kepada Bernama dalam wawancara eksklusif baru-baru ini.


ILMU KEIBUBAPAAN

Mengulas lanjut, Dr Mariani yang juga Presiden Majlis Pengasuhan dan Pendidikan Awal Kanak Kanak Malaysia berkata, kesan psikologi yang dapat dilihat adalah lebih kepada proses tumbesaran dan perkembangan kanak-kanak secara holistik.

Dengan persekitaran fizikal yang tidak kondusif terutama di taska atau tadika tidak berdaftar, kanak-kanak berkemungkinan besar tidak berpeluang untuk bersosial dan mengembangkan kemahiran insaniah mereka

"Ini ditambah dengan ketiadaan aktiviti sepatutnya mengikut peringkat umur seperti bertukar pendapat, membuat keputusan termasuk menerima keadaan 'kalah dan menang' yang sepatutnya dipelajari dalam sistem pendidikan yang lebih sistematik, " katanya.

Keadaan ini, kata beliau, sudah tentu akan mempengaruhi perkembangan kanak-kanak, apatah lagi sekiranya diberi makanan yang tidak sepatutnya (jika berlaku) yang turut mempengaruhi pertumbuhan fizikal mereka.

Menurut Mariani, jika taska dan pusat jagaan berdaftar, risiko seperti penderaan dapat dikurangkan kerana mereka yang menjadi pengasuh wajib mengambil Kursus Asuhan dan Didikan Awal Kanak-Kanak PERMATA (Kursus Asuhan PERMATA /KAP).

"Kursus ini boleh membimbing pengasuh dalam proses mengasuh beserta pendidikan yang lebih berkualiti disertai elemen penuh empati dan sifat sabar yang tinggi.

"Di taska dan pusat jagaan tidak berdaftar pula terdapat risiko sesiapa sahaja boleh diterima untuk bekerja tanpa mengira latar belakang kerana tiadanya peraturan yang menggariskan tenaga pengasuh perlu mempunyai sijil atau kelayakan tertentu untuk mengasuh kanak-kanak," jelasnya.

Pengasuh, taska dan pusat jagaan berdaftar perlu mematuhi prosedur operasi standard (SOP) yang ditetapkan oleh Jabatan Kebajikan Masyarakat (JKM). - Gambar hiasan


TEKANAN PUNCA DERA

Dalam pada itu, Mariani berkata, tindakan segelintir pengasuh yang tergamak melakukan kekasaran dan penderaan terhadap kanak-kanak adalah disebabkan stres atau tekanan sedia ada.

Ini ditambah dengan masalah lain yang berlanjutan tanpa penyelesaian serta tiadanya sokongan daripada keluarga dan orang sekeliling.

Beliau menjelaskan, kanak-kanak yang lazimnya aktif, lasak dan agresif boleh menjadi 'bom jangka' kepada pengasuh yang seterusnya membawa kepada isu penderaan malah lebih teruk kes kematian yang menyayat hati hanya kerana disebabkan tekanan yang gagal dikawal.

Menurut beliau lagi, kajian di dalam dan luar negara kebanyakannya menunjukkan peratusan tinggi penderaan terhadap kanak-kanak adalah disebabkan oleh stres serta beberapa masalah sampingan lain.

"Kanak-kanak yang didera boleh membesar sebagai pendera dan menjadi agresif bergantung kepada tahap penderaan telah berlaku pada mereka.

"Mereka juga mungkin bersifat pasif, tidak mudah percaya kepada orang lain, bersikap kurang yakin diri serta mempunyai estim kendiri yang rendah, " katanya.

Justeru, kata Mariani, amat penting untuk setiap pengasuh mempunyai ilmu keibubapaan serta pendidikan awal kanak-kanak, yang boleh menjadi panduan dalam membimbing dan mengasuh agar kanak-kanak dapat membesar menjadi insan yang seimbang dari aspek fizikal, mental dan rohaninya sekali gus menjadi pemimpin pelapis kepada masyarakat.

"Ilmu berkaitan penjagaan kanak-kanak boleh menyumbang dalam mencorakkan masa depan mereka. Pengasuh ibarat ibu bapa pada waktu siang (ketika ibu bapa keluar bekerja), maka ilmu ini amat penting untuk dimiliki oleh setiap pengasuh bagi memastikan proses kemenjadian anak-anak berlaku pada landasan yang sepatutnya.

"Pengasuh yang diamanahkan untuk menjaga kanak-kanak perlu mempunyai sifat kepunyaan dan kasih sayang bagi mengelak sebarang kejadian tidak diingini berlaku, " katanya.


PERMINTAAN TINGGI

Sementara itu, permintaan yang tinggi untuk pusat jagaan kanak-kanak daripada ibu bapa dan penjaga untuk penyelesaian mudah serta segera, turut menyumbang kepada lambakan pusat jagaan kanak-kanak tidak berdaftar.

Anggota Exco Majlis Kebajikan Kanak-kanak Malaysia (MKKM), Shahida Musa memberitahu Bernama, di samping faktor ibu bapa keluar bekerja, terdapat juga kanak-kanak yang ditempatkan di pusat jagaan apabila berlakunya masalah dalam institusi keluarga seperti penceraian, masalah kewangan dan isu keganasan rumah tangga.

Menurut beliau, selain isu yuran taska atau pusat jagaan berdaftar yang mahal, ada juga ibu bapa yang mementingkan diri, tidak memikirkan perkembangan pertumbuhan anak-anak mereka sehinggakan sanggup meletakkan mereka di pusat jagaan tidak berdaftar.

Keadaan ini juga, tambah beliau, menyumbang kepada kemunculan premis ini ibarat 'cendawan tumbuh selepas hujan'.

Dalam masa yang sama, terdapat juga pusat jagaan yang beroperasi disebabkan faktor ingin mengaut keuntungan hasil daripada kutipan derma orang ramai.

Shahida berkata, memandangkan terdapat permintaan yang tinggi untuk pusat jagaan kanak-kanak, maka ada pengusaha sama ada berniat baik atau demi keuntungan semata-mata, bertindak membuka dahulu pusat jagaan dan kemudian baru membuat permohonan kepada JKM.

"Terdapat pengusaha yang memperoleh pelbagai kemudahan serta pengiktirafan daripada masyarakat setempat hasil daripada kerja kebajikan mereka selain turut mendapat imbuhan kewangan kerana mengusahakan pusat jagaan.

"Apabila sudah memegang duit yang banyak hasil daripada sumbangan orang ramai, mereka menjadi 'gelap mata' dan tidak lagi memikirkan akta atau undang-undang yang sepatutnya dipatuhi," jelasnya, sambil menambah, pengusaha pusat jagaan wajar menambah ilmu berkaitan aspek penjagaan dan kesihatan kanak-kanak, ilmu pentadbiran pusat jagaan serta ilmu pengurusan kewangan.

Pengasuh yang bertauliah dan persekitaran yang kondusif mempengaruhi perkembangan psikologi kanak-kanak. - Gambar hiasan-

KANAK-KANAK DAN PENDERAAN

Menurut laman sesawang JKM, kanak-kanak didefinisikan sebagai seseorang yang di bawah umur 18 tahun seperti yang termaktub dalam Akta Kanak-Kanak 2001 (AKK 2001).

Perlindungan kanak-kanak merujuk kepada strategi dan aktiviti untuk mencegah dan bertindak balas terhadap pengabaian, penderaan, keganasan dan eksploitasi terhadap kanak-kanak.

Pengabaian merujuk kepada kegagalan secara berterusan dan serius untuk menyediakan keperluan asas fizikal, emosi dan pembangunan dari segi kesihatan, pendidikan, perkembangan emosi, nutrisi, tempat perlindungan dan kehidupan yang selamat untuk kanak-kanak. Pengabaian boleh mendedahkan kanak-kanak kepada segala bentuk bahaya, termasuk mengancam nyawa mereka.

Penderaan kanak-kanak adalah satu pencabulan atau pelanggaran yang serius terhadap hak kanak-kanak untuk berkembang dalam keadaan sihat dan bermaruah di samping menyebabkan risiko dalam kelangsungan hidup mereka. Penderaan boleh dikategorikan kepada penderaan fizikal, emosi, seksual dan pengabaian.

Menurut AKK 2001, penderaan fizikal adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi fizikal menyebabkan kecederaan yang boleh dilihat pada mana-mana bahagian tubuh kanak-kanak itu akibat kekerasan atau penggunaan agen yang disengajakan kepada tubuh kanak-kanak itu.

Penderaan emosi, menurut AKK 2001, adalah apabila seseorang kanak-kanak dicederakan dari segi emosi yang menyebabkan gangguan yang boleh dilihat pada fungsi mental atau emosi kanak-kanak itu seperti kecelaruan mental atau tingkah laku, keresahan, kemurungan, penyendirian dan perkembangan lambat.

Penderaan seksual menurut AKK 2001 adalah apabila seseorang kanak-kanak teraniaya dari segi seks jika dia mengambil bahagian, sama ada sebagai peserta atau pemerhati, dalam apa-apa aktiviti yang berunsur seks bagi apa-apa maksud atau eksploitasi seks oleh mana-mana orang bagi memuaskan nafsu seks orang itu atau orang lain.

Keganasan merujuk kepada sesuatu tindakan dengan niat untuk menyebabkan sebarang bentuk kecederaan dari segi fizikal dan emosi terhadap kanak-kanak.

Eksploitasi merujuk kepada penggunaan kanak-kanak dalam aktiviti yang membolehkan pihak lain mendapat faedah dari segi kewangan, seksual, politik serta kepentingan lain yang boleh mengancam kesejahteraan fizikal dan psikologikal mahupun kelangsungan hidup kanak-kanak.

-- BERNAMA / ERDA KHURSYIAH BASIR