Pengawal keselamatan yang membunuh dan mencederakan dua pegawai bank di Taman Molek di sini, semalam didapati kerap menyendiri dan kurang berbual bersama keluarga.

Bapanya, yang berumur 80 tahun dan enggan dikenali, berkata namun, anaknya yang berusia 44 tahun itu tidak menunjukkan sebarang perubahan ketara semalam malah mengejutnya untuk solat Subuh.

"Dia tidak menunjukkan kelakuan pelik sebelum keluar bekerja, cuma apa yang saya perhatikan, dia kerap menyendiri dan kadang-kala bercakap sendirian sejak kebelakangan ini.

"Hal itu amat membimbangkan kami sekeluarga...kami pernah berusaha mengubatinya menerusi rawatan tradisional," katanya yang ditemui pemberita di rumahnya di Bandar Baru Uda di sini.

Beliau berkata suspek, anak kelima daripada enam beradik dan masih bujang, sempat menghubungi keluarganya menerusi tiga panggilan telefon kira-kira 3 petang semalam sebelum dia mengamuk di bank itu.

Menerusi panggilan pertama, suspek meminta abangnya mengambilnya pulang dari kerja manakala bagi panggilan kedua, suspek mahu berbual dengan anak saudara lelakinya yang berumur tiga tahun.

"Bagaimanapun, dia tidak berbual dengan anak saudaranya itu kerana kanak-kanak berkenaan tidur. Tidak lama kemudian, dia sekali lagi menelefon meminta untuk bercakap dengan anak saudaranya itu dan talian kemudian terputus," katanya.

Sementara itu, abang suspek yang berusia 40-an pula berkata adiknya bukan bekas anggota tentera seperti yang dilaporkan media dan dia tidak pernah menceritakan masalah di tempat kerjanya.

"Adik saya sempat memberikan wang untuk diserahkan kepada ibu bagi membayar rumah sewa," katanya yang bergegas ke bank berkenaan semalam selepas dimaklumkan kejadian itu.

Dalam kejadian 3.30 petang itu, seorang pegawai bank, Ho Chin Tau, 33, maut ditikam manakala rakan sekerja wanitanya yang berumur 54 tahun cedera dilibas oleh pengawal keselamatan itu yang mengamuk secara tiba-tiba.

Suspek kemudian ditahan polis dengan bantuan orang ramai dan kini direman seminggu untuk siasatan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.