AMPANG JAYA: Polis menahan seorang pengawal keselamatan warga Bangladesh yang sebelum ini mendakwa menemui seekor harimau berlegar-legar berhampiran Jalan Tropika, Kemensah 3, Kemensah Heights, Hulu Kelang di sini bagi membantu siasatan.

Ketua Polis Daerah Ampang Jaya, Asisten Komisioner Mohamad Farouk Eshak berkata, lelaki berusia 51 tahun itu ditahan kira-kira pukul 7 petang, Jumaat ketika sepasukan polis dari Balai Polis Taman Melawati membuat rondaan di kawasan terbabit.

"Suspek dipercayai individu yang memberi maklumat berkenaan melihat harimau berkenaan.

"Bagaimanapun perkembangan berkenaan penemuan harimau oleh suspek masih lagi dalam siasatan.

"Kita sudah membuka kertas siasatan mengenai dakwaan yang tular di media sosial itu," katanya dalam kenyataan di sini, pada Sabtu.

Mengulas lanjut, Mohamad Farouk berkata, semakan juga mendapati suspek tidak memiliki dokumen perjalanan yang sah.

Kes itu katanya disiasat mengikut Seksyen 6(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 iaitu tinggal di Malaysia tanpa dokumen perjalanan yang sah.

Jika disabit dengan kesalahan, lelaki itu boleh dikenakan denda tidak lebih dari RM10,000 atau penjara sehingga lima tahun atau kedua-duanya dan boleh dikenakan sebatan tidak lebih enam kali.

BACA: Polis terima laporan penampakan harimau di Kemensah Heights

Menurutnya, polis turut menerima satu laporan polis daripada seorang penduduk pada 12.43 tengah hari Sabtu, yang menyatakan menerima pesanan nota suara yang tular menerusi aplikasi WhatsApp, yang mendakwa seorang pengawal keselamatan terlihat harimau berlegar-legar di kawasan tempat tinggal pengadu.

Beliau berkata, dalam laporan itu pengadu  merasakan dakwaan itu adalah tidak benar dan hanya mendatangkan kegusaran serta mencetus kebimbangan kepada penduduk setempat memandangkan setakat ini tiada bukti jelas tentang kehadiran harimau.

Sehubungan itu, Mohamad Farouk meminta orang ramai agar tidak menyebarkan berita yang tidak sahih sehingga boleh menimbulkan kegusaran.