Seorang pengawal keselamatan melarikan wang tunai berjumlah RM250,000 dari van yang dipandunya semasa dua lagi rakannya sedang memindahkan sejumlah wang ke Maybank di Wisma Consplant, Subang Jaya pada Isnin.

Ketua Polis Daerah Subang Jaya ACP Yahaya Ramli berkata kejadian berlaku kira-kira 9 pagi ketika suspek yang dikenali sebagai Mohd Fahamy Mohammad Ramly, 30, yang sedang menunggu rakan-rakannya melakukan tugas mereka, tiba-tiba melarikan van yang berisi wang tersebut.

"Mereka ditugaskan untuk mengambil wang hasil jualan hujung minggu di beberapa premis perniagaan di sekitar Shah Alam dan di dua buah stesen minyak di Kesas (Lebuhraya Shah Alam) bagi tujuan mendeposit wang tersebut ke dalam bank.

"Wang berkenaan merupakan milik dua buah stesen minyak dan sebuah restoran makanan segera yang ditinggalkan dalam van itu sebelum dideposit ke dalam Maybank di dalam bangunan wisma tersebut," katanya kepada Bernama.

Yahaya berkata dua rakan pengawal tersebut yang kembali setelah menghantar wang ke bank itu mendapati suspek bersama van itu tidak lagi kelihatan di situ.

Mereka kemudiannya menghubungi rakan mereka dengan alat walkie-talkie tetapi gagal, lalu kedua-duanya membuat laporan polis.

Beliau berkata pihaknya dimaklumkan suspek tidak mempunyai senjata dan baru sahaja berkhidmat di syarikat keselamatan itu pada 1 Okt lepas.

Syarikat tersebut yang ditubuhkan pada tahun 2005 menawarkan khidmat penghantaran wang kutipan jualan untuk dimasukkan ke dalam akaun bank pelanggan, katanya.

Yahaya berkata kes tersebut disiasat di bawah Seksyen 381 Kanun Keseksaan kerana mencuri.