KUALA LUMPUR: Pengeluaran getah asli Malaysia melonjak 48.9 peratus kepada 31,369 tan pada Jun 2022 daripada 21,073 tan yang dicatatkan pada Mei 2022, kata Jabatan Perangkaan Malaysia.

Jabatan Perangkaan dalam kenyataan mengenai Perangkaan Getah Bulanan berkata pengeluaran getah asli susut sebanyak 19.2 peratus tahun ke tahun daripada 38,807 tan pada Jun 2021.

"Pengeluaran getah asli Malaysia pada Jun 2022 disumbangkan kebanyakannya oleh sektor pekebun kecil (87.2 peratus) berbanding sektor estet (12.8 peratus).

"Jumlah stok getah asli menguncup sebanyak 3.0 peratus pada Jun 2022 kepada 280,826 tan daripada 289,429 tan pada Mei 2022," katanya.

Ia berkata eksport getah asli Malaysia berjumlah 58,556 tan pada Jun 2022 naik 35.6 peratus berbanding dengan 43,194 tan yang dicatatkan pada Mei 2022.

China terus kekal sebagai destinasi utama untuk eksport getah asli dengan jumlah 39.8 peratus daripada jumlah keseluruhan eksport pada Jun 2022 diikuti Amerika Syarikat (5.8 peratus), Jerman (5.3 peratus), Findland (3.8 peratus) dan Turkiye (2.7 peratus), katanya.

Jabatan Perangkaan berkata prestasi eksport disumbangkan oleh produk berasaskan getah asli seperti sarung tangan getah, tayar, tiub, benang getah dan kondom.

Produk sarung tangan getah merupakan eksport utama dengan nilai RM3.2 bilion pada Jun 2022, meningkat 98.5 peratus berbanding dengan RM1.6 bilion bagi Mei 2022, katanya.

Ia berkata pengeluaran getah asli Malaysia pada suku kedua 2022 mencatat penyusutan 25.8 peratus berbanding 101,045 tan pada suku pertama 2022.

Prestasi pertumbuhan tahunan pengeluaran getah asli Malaysia pada suku kedua turun 16.7 peratus berbanding 89,985 tan pada 2021.

-- BERNAMA