SEPANG: Pengembara antarabangsa yang tiba di negara ini melalui laluan udara tidak diwajibkan mengambil ujian RTK-Antigen di lapangan terbang seperti yang dilaporkan sebelum ini.

Sebaliknya, mereka boleh melakukan ujian RKT-Antigen dalam tempoh 24 jam selepas ketibaan, kata Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).

Menurut MAHB, keperluan bagi pengembara antarabangsa melakukan ujian berkenaan adalah berdasarkan prosedur operasi standard (SOP) yang diumumkan kerajaan Malaysia berhubung pembukaan sempadan baru-baru ini.

Dalam masa sama, kata MAHB, ujian tersebut boleh dilakukan di mana-mana pusat kesihatan swasta, termasuk klinik dan hospital pilihan mereka.

“Wujud juga dakwaan bahawa terdapat monopoli oleh pengendali fasiliti kesihatan swasta di lapangan terbang. Dakwaan ini tidak berasas kerana tiada kewajiban untuk melalui ujian di lapangan terbang sejurus ketibaan mereka.

“Fasiliti berkenaan disediakan untuk pengembara yang inginkan kemudahan untuk melakukan ujian dengan segera,” kata MAHB dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

MAHB juga memaklumkan, terdapat empat pengendali fasiliti kesihatan swasta di empat lapangan terbang berlainan – BP Clinical Lab Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur, Edgenta UEMS Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Pulau Pinang, MYEG Services Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kota Kinabalu, dan Gribbles Pathology (M) Sdn Bhd untuk Lapangan Terbang Antarabangsa Kuching.

“Kerajaan turut mengumumkan pengecualian ujian sejurus ketibaan untuk perjalanan di antara Malaysia dan Singapura bagi mereka yang mendapat vaksinasi penuh, sebagai sebahagian protokol keselamatan spesifik antara dua negara.

“Sejak pembukaan sempadan, serta amalan SOP pelepasan dan ketibaan yang baharu untuk perjalanan ke Malaysia, pemprosesan pengembara telah menjadi lebih baik dari segi kecepatan dan kecekapan,” kata syarikat pengendali lapangan terbang negara itu lagi.