Berita baik untuk pengendali bas sekolah yang mempunyai bas berusia bawah 25 tahun.

Mereka kini boleh memohon untuk menyertai Skim Penggantian Bas Sekolah yang sebelum ini hanya dibuka bagi bas sekolah berusia lebih 25 tahun.

Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) dalam satu kenyataan berkata, penambahbaikan skim itu dibuat dengan persetujuan Kementerian Kewangan bertujuan mempertingkat mutu dan perkhidmatan bas sekolah demi menjamin keselamatan pelajar.

"Untuk menjayakan program ini, kerajaan memperuntukkan RM10 juta bagi membantu pengendali dalam memastikan keadaan bas sekolah selesa dan selamat," kata kenyataan itu.

Program yang dilaksanakan SPAD sejak awal 2013 itu merupakan skim subsidi yang merupakan inisiatif kerajaan untuk meringankan beban pengendali dengan bantuan rebat RM10,000 bagi setiap pemohon dan bayaran kadar faedah tetap dua peratus setahun.

Ujar kenyataan itu lagi, bagi mendapatkan kelulusan khas ini, pengendali perlu mengemukakan laporan gagal pemeriksaaan Pusat Pemeriksaan Kenderaan Berkomputer (PUSPAKOM) semasa memohon ubah syarat penggantian kenderaan di mana-mana pejabat Wilayah dan Negeri SPAD.

Bagaimanapun kata kenyataan itu, kelulusan pinjaman pembiayaan kenderaan ini terletak di bawah bidang kuasa Bank Simpanan Nasional (BSN).

Pengendali yang berminat boleh mengunjungi mana-mana pejabat negeri SPAD dan BSN untuk maklumat lanjut.

Sebelum ini, Pengerusi SPAD, Tan Sri Syed Hamid Albar meminta semua bas sekolah berusia 30 tahun dan ke atas perlu digantikan dengan baharu menjelang hujung tahun lepas.

Jelasnya, langkah itu diambil bagi memastikan keadaan fizikal bas adalah baik dan menjamin keselamatan perjalanan kanak-kanak ke sekolah.