Kedutaan Besar Malaysia di Indonesia masih menunggu pengesahan sama ada mayat penumpang tunggal rakyat Malaysia dalam nahas pesawat AirAsia QZ8501, Sii Chung Huei telah ditemui atau sebaliknya.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata pegawai kedutaan telah ditugaskan untuk membantu keluarga dan waris Sii di Surabaya dan sebaik sahaja pihak kedutaan menerima laporan mengenai identifikasi jenazah Sii, beliau sendiri akan berlepas ke Surabaya bagi membantu pengurusan
jenazah.

"Kita telah membuat persiapan dan jika mayat Sii ditemui dan disahkan, kita akan terbangkannya terus ke Sarawak menerusi pesawat TUDM (Tentera Udara Diraja Malaysia)," kata beliau kepada Bernama di sini.

Sii adalah suami kepada seorang pensyarah Universiti Teknologi Mara (UiTM) Sarawak, Prof Madya Annie Wong Muk Ngiik.

Pesawat Airbus A320-200 yang membawa 162 penumpang dan anak kapal itu terhempas di perairan dekat Pangkalan Bun di Kalimantan Tengah pada 28 Dis lepas ketika dalam perjalanan ke Singapura dari Surabaya.

Penumpang dan anak kapal dalam pesawat itu terdiri daripada 155 warga Indonesia, tiga warga Korea Selatan dan masing-masing seorang warga Singapura, Malaysia, United Kingdom dan Perancis.

Sementara itu, penemuan bahagian ekor pesawat AirAsia QZ8501 semalam, diharap dapat merungkai persoalan apakah punca sebenar tragedi pesawat itu yang terhempas dan terjunam dalam dasar laut dekat Pangkalan Bun.

Ini kerana kedudukan kotak hitam sepatutnya berada pada bahagian ekor pesawat dan pasukan penyelam yang menjalankan kerja-kerja mengikat dan memasang pelampung pada serpihan bahagian ekor pesawat itu dilaporkan telah mendengar isyarat bunyi yang dipercayai datang dari kotak hitam berkenaan.

Operasi mencari dan menyelamat (SAR) yang memasuki hari ke-12 hari ini, terus diuji dengan cabaran alam apabila pasukan SAR terpaksa mengharungi arus yang deras dan ombak tinggi di kawasan pencarian.

SAR yang diterajui oleh Badan Mencari dan Menyelamat Nasional (Basarnas) telah mengerakkan sepasukan penyelam profesional bagi mencari kotak hitam dalam bahagian ekor pesawat, yang ditemui dalam keadaan terbalik dan terbenam dalam selut.

Ketua Basarnas, Bambang Soelistyo berkata kerja-kerja mencari kotak hitam kini masih giat dilakukan dan terpaksa berhenti sementara ekoran arus dalam laut yang kuat.

Bambang berkata pasukan SAR telah bersedia dengan jentera pengangkat bagi menaikkan bangkai pesawat tersebut namun ada banyak prosedur pemeriksaan perlu dilakukan terlebih dahulu.

Semalam, pasukan SAR mengesan satu objek besar di dasar laut dan ia disahkan bahagian ekor pesawat kerana tertera perkataan 'Air' dengan kedudukan terbalik.

Bangkai pesawat itu ditemui di titik koordinat 03" 36.31 S-109" 41.66 T atau di perairan Laut Jawa dengan kedalaman antara 30-35 meter.

Beliau berkata walaupun fokus diberi untuk mencari kotak hitam, pihaknya juga giat mencari mangsa nahas itu dan setakat ini sebanyak 40 mayat telah ditemui.

Pasukan keselamatan juga percaya banyak lagi mayat masih berada dalam kabin pesawat yang belum ditemui.

Penerbangan QZ8501 berlepas dari Surabaya, Indonesia, pada 5.20 pagi Ahad dan dijadual tiba di Lapangan Terbang Changi Singapura pada 8.30 pagi hari sama.

Kali terakhir pesawat itu berhubung dengan Menara Kawalan Trafik Udara pada 6.12 pagi waktu Indonesia (7.12 pagi waktu Malaysia).