KUCHING: Kementerian Pelancongan, Kesenian dan Kebudayaan Sarawak menyambut baik pengumuman kerajaan persekutuan yang membenarkan rentas negeri bermula hari ini.

Bagaimanapun menterinya Datuk Seri Abdul Karim Rahman Hamzah berkata beliau kecewa dengan keputusan Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri Sarawak (JPBNS) yang masih melaksanakan sistem pengawasan EnterSarawak.

Jelas Abdul Karim, sebagai Menteri yang bertanggungjawab memulihkan kembali sektor pelancongan di Sarawak penarikan balik beberapa syarat sebelum ini termasuk pembatalan permit polis untuk memasuki negeri itu amat dialu-alukan, namun JPBNS perlu bersikap lebih memudahkan orang ramai.

“Saya masih tidak berpuas hati dengan syarat lain yang diletakkan oleh Kerajaan Sarawak iaitu borang ‘enterSarawak’, saya tidak melihat asasnya.

“Permit polis sudah tidak perlu, mengapa kita masih perlu mempunyai permit untuk memasuki Sarawak? 

“Syarat bukti lengkap divaksinasi atau surat doktor menyatakan mengapa anda tidak divaksinasi adalah memadai,” ujarnya.

Beliau berkata demikian, pada sidang media selepas melancarkan Dayak Daily Drift 2021 di Kuching, pada Isnin.

Tambah Abdul Karim beliau yakin, pengesahan vaksinasi lengkap sudah memadai untuk membolehkan seseorang itu memasuki Sarawak kerana sistem yang sama diguna pakai oleh negara lain, termasuk di Eropah.