KUALA LUMPUR: Peningkatan mendadak kes positif COVID-19 di Sarawak disebabkan peningkatan aktiviti pengesanan kontak rapat kepada kes di semua bahagian di Sarawak terutama di lokaliti yang mempunyai kluster aktif.

Pengarah Jabatan Kesihatan Negeri Sarawak (JKNS), Datuk Dr Mohamed Sapian Mohamed berkata, malah data turut merekodkan kadar positif meningkat kepada 18.8 peratus sekali gus menunjukkan kejadian penularan COVID-19 telah berlaku secara meluas dalam komuniti.

Sehubungan itu, katanya, bilangan sampel yang tinggi telah membebankan kapasiti makmal sedia ada serta  memanjangkan tempoh masa diperlukan untuk memperolehi keputusan ujian.

Jelas beliau, hal ini turut mengakibatkan banyak sampel yang tertunggak sehingga lima hari.

‘’5,291 kes baru hari ini adalah dari 28,065 keputusan sampel yang diuji. Kadar positif adalah 18.8 peratus dan kadar ini meningkat dari purata 14.5 peratus.

‘’Bilangan sampel yang tinggi telah membebankan kapasiti makmal sedia ada dan memanjangkan tempoh masa diperlukan untuk memperolehi keputusan ujian (turn-around-time) walaupun melalui penyumberluaran yang dilaksanakan,’’ katanya menerusi satu kenyataan pada Ahad.

Bagaimanapun tambahnya, 99.9 peratus daripada keseluruhan kes yang dilaporkan hari ini merupakan kes kategori satu dan dua.

Ujarnya, walaupun terdapat tunggakan masa dalam memperolehi keputusan, semua kontak yang berisiko telah diberi Home Surveillance Order (HSO) bagi mengelak penyebaran dalam komuniti.

Untuk itu, JKNS sedang dan akan terus menjalankan pemantauan bagi menilai situasi semasa di Sarawak.

‘’Langkah-langkah penambahbaikan dijalankan mengikut situasi semasa dan penggunaan Rapid Test Kit (RTK) Antigen akan digunakan lebih meluas di seluruh Sarawak.

‘’Ini bagi mengenal pasti kes positif dengan kadar yang cepat agar tindakan kawalan dapat dilakukan dengan pantas.

‘’Perancangan strategi mitigasi sedang dirangka dan strategi terperinci akan diumumkan dalam masa terdekat setelah dibincangkan bersama Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Sarawak dan Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM),’’ tambahnya.