Presiden MIC Datuk Seri G. Palanivel berkata beliau hanya akan memegang jawatan presiden untuk satu penggal lagi sekiranya dipilih dalam pemilihan parti akan datang.

MIC hari ini mengubah keputusan awalnya untuk mengadakan pemilihan pada tahun depan namun mempercepatkannya ke tahun ini.

"Selepas ini saya akan berundur. Saya kini berusia 64 tahun," jelas beliau yang menambah MIC akan merangka pindaan perlembagaannya dalam masa dua ke tiga bulan selepas pemilihan parti.

Palanivel berkata pemilihan akan diadakan bermula Julai tahun ini berikutan tarikh akhir yang diberikan oleh Pendaftar Persatuan (ROS).

"ROS telah menemui saya dua kali dan mengarahkan untuk mengadakan pemilihan sebelum 31 Disember.

"Kesemua 3,900 cawangan parti akan mengadakan pemilihan pada 12 Julai hingga 4 Ogos. Selepas itu, kita akan mengadakan pencalonan presiden pada 1 September dan pemilihan dijalankan pada 22 September.

"Pemilihan di peringkat bahagian akan diadakan pada hujung September.

"Pemilihan untuk naib presiden, timbalan presiden dan 23 ahli jawatankuasa kerja pusat akan berlangsung pada hujung November," tambah beliau sewaktu sidang media di ibu pejabat parti berkenaan.

Sementara itu, isu yang berlarutan di antara kerajaan negeri Perak dan MIC bagi menjawat jawatan speaker; Timbalan Presiden Datuk S. Subramaniam berkata mereka akan menemui Menteri Besar Perak Datuk Seri Zambry Kadir bagi membincangkan hal berkenaan.