KUANTAN: Kadar penggunaan katil dalam Unit Rawatan Rapi (ICU) di Pahang yang masih tinggi menjadi penghalang kepada negeri itu untuk beralih ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) lebih awal.

Menteri Besarnya, Datuk Seri Wan Rosdy Wan Ismail berkata, ia di sebalik kadar peratusan vaksinasi di negeri itu sudah pun melebihi sasaran yang ditetapkan.

Menurut Wan Rosdy, semua kriteria telah pun dipenuhi kecuali penggunaan bilangan katil di ICU yang agak tinggi ketika ini.

"Kita telah memenuhi semua kriteria kecuali satu sahaja iaitu kadar katil di ICU tinggi dan dalam mesyuarat baru-baru ini saya bangkitkan dengan Perdana Menteri dan KJ (Menteri Kesihatan), diberitahu dalam mesyuarat itu.

“Daripada segi kadar vaksinasi kita (Pahang) sudah lepasi, kadar kebolehjangkitan pun bawah daripada satu. Semua sudah cuma satu itu sahaja (penggunaan katik ICU) dan kita mohon supaya Kementerian, MKN boleh pertimbang pertimbangan khas untuk kita beralih ke Fasa 3,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar selepas tinjauan pemberian vaksin COVID-19 kepada pelajar berumur 16 dan 17 tahun di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bukit Rangin pada Selasa.

Wan Rosdy menjelaskan Kerajaan Pahang yakin akan dapat mencapai imuniti kelompok sebelum hujung tahun ini seperti dijadualkan.

Dalam pada itu, Wan Rosdy memaklumkan seramai  30,000 warga Lembaga Kemajuan Tanah Persekutuan (Felda) di Pahang akan menerima suntikan dos pertama vaksin mereka pada penghujung September ini.