KUALA LUMPUR: Kadar kematian akibat kemalangan jalan raya dikhuatiri meningkat sekiranya jumlah penggunaan kenderaan persendirian terus bertambah berbanding pengangkutan awam, kata pakar keselamatan jalan raya.

Pengarah Eksekutif Safe Kids Malaysia Prof Dr Kulanthayan KC Mani berkata, pengangkutan awam seperti bas dan tren merupakan pengangkutan paling selamat dan mencatatkan kadar kemalangan terendah.

"Pada tahun 2022, Malaysia mencatatkan 545,630 kemalangan atau satu kemalangan setiap minit serta 6,067 mangsa maut dalam kemalangan jalan raya atau satu kemalangan jalan raya atau kematian setiap 90 minit.

"Angka ini lebih tinggi daripada sebelum COVID-19 melanda, situasi ini membimbangkan dan harus dilihat sebagai 'trafik pandemik'," katanya pada program Minggu Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa Bangsa Bersatu (PBB) ke-7 dengan kerjasama Prasarana Malaysia Berhad di sini, pada Selasa.

Justeru, katanya, beliau berharap semua pihak termasuk kerajaan dan penyedia perkhidmatan dapat sentiasa mempertingkatkan infrustruktur dan fasiliti, termasuk laluan pejalan kaki dan laluan berbasikal yang akan menggalakkan orang ramai beralih kepada pengangkutan awam.

Sementara itu, Ketua Pegawai Kesihatan, Keselamatan dan Pembangunan Lestari Kumpulan Prasarana Idzqandar Abu Bakar berharap inisiatif seperti penyediaan pas perjalanan My50 dan kerjasama dengan Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) dalam mewujudkan laluan khas bas, bagi menambah baik kebolehpercayaan perkhidmatan, dapat menarik minat lebih ramai menggunakan pengangkutan awam.

Program Minggu Keselamatan Jalan Raya Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dijalankan setiap dua tahun bertujuan memberi kesedaran tentang kaedah mengatasi kemalangan jalan raya yang tinggi di peringkat global selain menggalakkan pihak berkaitan melihat semula kaedah pergerakan (mobiliti) lebih selamat.

-- BERNAMA