KEPALA BATAS: Dua lelaki termasuk seorang penghantar makanan (p-hailing) diberkas polis dalam serbuan di sebuah restoran di Raja Uda, Butterworth Rabu lepas.

Dalam serbuan jam 5.30 petang tu, pelbagai jenis dadah hampir tujuh kilogram dengan nilai RM104,879 berjaya dirampas Bahagian Siasatan Jenayah Narkotik Ibu Pejabat Polis Daerah SPU.

Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU), Asisten Komisioner Mohd Radzi Ahmad berkata, suspek berusia 22 dan 25 tahun itu ditangkap ketika sedang berbual di hadapan restoran berkenaan .

Pemeriksaan lanjut menemui 88 bungkus dadah heroin seberat 4,995 gram bernilai RM66,933, ganja seberat 1,009 gram bernilai RM2,522 dan 984 gram dadah jenis syabu bernilai RM35,424 yang disimpan di dalam sebuah kereta di belakang restoran berkenaan.

Mohd Radzi berkata, siasatan awal mendapati kedua- dua suspek tidak mempunyai hubungan keluarga itu mula bergiat aktif mengedar dadah sejak Disember lalu.

"Hasil risikan mendapati aktiviti pengedaran  dadah oleh sindiket Ini telah bergiat  aktif sejak Disember tahun ini. Kesemua dadah ini untuk pasaran tempatan, jumlah keseluruhan dadah  yang dirampas ini boleh digunakan oleh seramai 34,940 orang penagih dadah atau 34,950 kali penggunaan," katanya.

Mohd Radzi berkata demikian pada sidang media di Ibu Pejabat Polis Daerah Seberang Perai Utara di Kepala Batas, Pulau Pinang pada Jumaat.

Jelasnya, kesemua dadah itu dipercayai diperoleh dari pembekal di bahagian George Town dan dijual untuk pasaran tempatan.

Mohd Radzi berkata, pihak polis masih lagi menjalankan siasatan lanjut  berhubung modus operandi yang digunakan suspek untuk mengedar dadah.

Selain dadah, polis turut merampas kereta jenis Toyota Vios yang dilaporkan hilang di Johor Bahru dua tahun lalu. Ujian air kencing ke atas kedua-dua suspek itu negatif dadah namun semakan mendapati kedua-duanya mempunyai rekod jenayah lampau termasuk berkaitan kesalahan dadah.

Kedua -dua suspek direman selama enam hari bermula 5 Januari hingga 10 Januari bagi membantu siasatan.

Kes di siasat di bawah Seksyen 39 B Akta  Dadah Berbahaya 1952 jika sabit kesalahan boleh dihukum mati atau penjara seumur hidup  dan jika tidak dihukum mati akan dikenakan  sebatan tidak lebih 15 sebatan.