Penghantar makanan didenda RM4,000 cabul wanita Indonesia

Dewi Nur Harasha Alias
April 27, 2022 05:03 MYT
Muhammad Falihin didenda RM4,000 selepas mengaku bersalah atas pertuduhan mencabul seorang wanita dalam satu kejadian pada 20 April lalu. - Foto BERNAMA
GEORGE TOWN: Seorang penghantar makanan didenda RM4,000 atau penjara tiga bulan sekiranya gagal membayar denda atas kesalahan mencabul kehormatan seorang wanita Indonesia dalam kejadian di Bukit Gambir, George Town Rabu lalu.
Muhammad Falihin Abdul Talib, 28, dijatuhi hukuman itu setelah mengaku bersalah selepas pertuduhan ke atasnya dibacakan di hadapan Majistret Nur Melati Diana Abd. Wahab di Mahkamah Majistret George Town hari ini.
Mengikut pertuduhan, Muhammad Falihin didakwa menggunakan kekerasan jenayah dengan cara meraba payudara wanita Indonesia yang dikenali sebagai Nurmalis dengan niat untuk mencabul kehormatannya.
Dia didakwa melakukan kesalahan itu di Jalan Bukit Gambir pada jam 12.30 tengah hari pada 20 April lalu.
Muhammad Salihin didakwa mengikut Seksyen 354 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga 10 tahun atau denda atau sebat atau mana-mana dua daripada hukuman itu jika sabit kesalahan.
Kes dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nazri Abdul Rahim manakala tertuduh diwakili peguam S. Bommy.
Dalam rayuannya, tertuduh merayu agar hukuman keatasnya diringankan memandangkan dia pencari nafkah tunggal keluarga selain mempunyai seorang anak berusia setahun manakala isterinya sedang hamil.
Difahamkan, tertuduh membayar denda tersebut sejurus prosiding selesai.
Mengikut fakta kes, ketika kejadian mangsa yang sedang menunggang motosikal berhampiran lampu isyarat Jalan Bukit Gambir dari arah Sungai Nibong dihampiri seorang lelaki yang menaiki motosikal dari arah belakang lalu menghimpitnya di sebelah kanan.
Lelaki terbabit kemudiannya terus meramas payudara kanannya menyebabkan mangsa terkejut lalu memberhentikan motosikalnya.
Hasil laporan yang dibuat mangsa di Balai Polis Sungai Nibong, suspek berjaya ditahan di tepi Lorong Singgora pada jam 4.45 petang, 24 April lalu.
#cabul wanita #penghantar makanan #wanita Indon #Mahkamah Majistret #George Town