Penghijauan Malaysia: 36.8 juta pokok berjaya ditanam - Takiyuddin

Fareez Azman
Julai 17, 2022 09:14 MYT
Kempen itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pokok dalam kelangsungan hidup. - Gambar hiasan/ Bernama
SHAH ALAM: Sebanyak 36.8 juta pokok ditanam di seluruh negara setakat ini dalam Kempen Penanaman 100 Juta Pokok yang dilancarkan sejak 5 Januari tahun lalu.
Menurut Menteri Tenaga dan Sumber Asli, Datuk Seri Takiyuddin Hassan, ia membabitkan sebanyak 1,000 spesies pokok.
"Pada tahun lepas, kempen ini berjaya melepasi sasarannya dan bagi tahun ini, KeTSA (Kementerian Tenaga dan Sumber Asli) menyasarkan untuk menanam sebanyak 20 juta pokok setahun.
"Pencapaian kempen ini boleh dilihat dan diperoleh secara terus melalui aplikasi mudah alih 'Penghijauan Malaysia' di laman sesawang khas www.100jutapokok.gov.my," jelasnya.
Tambah Takiyuddin, kempen itu diharap dapat meningkatkan kesedaran masyarakat mengenai kepentingan pokok dalam kelangsungan hidup.
Justeru beliau menyeru kepada semua pihak dapat bersama KeTSA dalam menjayakan gerakan penanaman pookok itu di seluruh negara.
Beliau berkata demikian ketika berucap pada majlis pelancaran Penghijauan Malaysia: Koperasi Prihatin Sejuta Pokok sempena bulan Koperasi Kebangsaan di Taman Botani Negara, Shah Alam pada Ahad.
#Takiyuddin Hassan #ketsa #penanaman pokok #100 juta pokok