Langkah membantu golongan India Muslim mendapat status Bumiputera menuntut kerajaan mengkaji semula definisi Bumiputera.

Pakar Hubungan Etnik, Universiti Utara Malaysia (UUM) Dr Hazman Hassan berkata, ia bagi memastikan definisi sebenar Bumiputera dapat difahami dengan jelas tanpa sebarang kekeliruan.

Dr Hazman melihat golongan India Muslim wajar mendapat pengiktirafan Bumiputera sekiranya ciri-ciri yang ada pada Bumiputera dipraktikkan

Ini termasuk menjadikan bahasa Melayu sebagai bahasa utama.

Dr Hazman berkata, "Mungkin satu kebimbangan satu asas orang akan tanya adakah orang India Muslim berkomunikasi dalam Bahasa Malaysia, ya sebab pada masa yang sama, anda boleh lihat Jawa cakap Jawa di rumah cakap tetapi iktiraf Bahasa Malaysia seolah boleh bahasa suku tapi bahasa utama ialah Bahasa Malaysia ."

Ujarnya, definisi Bumiputera perlu dikaji semula dengan teliti memandangkan Malaysia sudah lebih 50 tahun mengecapi kemerdekaan.

Pada Isnin, kerajaan bersedia untuk membantu India Muslim mendapat pengiktirafan Bumiputera.

Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak berkata, golongan berkenaan boleh diiktiraf sebagai Bumiputera jika mereka mengamalkan adat resam Melayu serta beragama Islam.