KANGAR: Penglibatan semua pihak termasuk orang awam diperlukan bagi menjayakan Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kota Raja-Pauh Putra, kata Menteri Besar Perlis Datuk Seri Azlan Man.

Beliau berkata tiga komponen utama koridor pembangunan baharu itu, merangkumi kawasan Pauh Putra, Pekan Pauh dan Pekan Arau.

"Tujuan utama publisiti ini adalah untuk mengeksploitasikan keunikan yang terdapat di kawasan tersebut, agar agenda pembangunan bergerak seiring dengan pelan induk Perlis Bandar Raya Menjelang 2030," katanya selepas merasmikan program Publisiti dan Penyertaan Awam Draf RKK Kota Raja-Pauh Putra anjuran Jabatan Perancangan Bandar dan Desa (PLANMalaysia) dan Majlis Perbandaran Kangar (MPK).

Turut hadir, Exco Perumahan dan Kerajaan Tempatan Azizan Sulaiman, Setiausaha Kerajaan Perlis, Datuk Seri Hasnol Zam Zam Ahmad, Timbalan Ketua Pengarah (Perancangan) PLANMalaysia Md Nazri Abdullah dan Yang Dipertua MPK Norazlan Yahaya.

Azlan berkata sebelum sesuatu RKK ini dimuktamadkan, ia perlu melalui proses publisiti dan penyertaan awam bagi memberi peluang kepada mana-mana pihak berkepentingan dan orang awam memahami serta membuat cadangan atau bantahan selaras dengan keperluan yang ditetapkan dalam Akta Perancangan Bandar dan Desa 1976 (Akta 172).

Katanya mereka diberi tempoh selama sebulan bermula Selasa lepas (9 Ogos) sehingga 8 Sept depan bagi memudahkan semua pihak mendapatkan maklumat berkenaan draf laporan RKK dn programm publisiti.

Beliau berkata pameran tetap tentang Draf Rancangan Kawasan Khas (RKK) Kota Raja-Pauh Putra akan diadakan di ibu pejabat dan cawangan pejabat MPK, dan pejabat PLANMalaysia@Perlis.

Manakala pameran bergerak akan di adakan di Masjid Arau pada 15 Ogos hingga 19 Ogos, Universiti Malaysia Perlis, Kampus Pauh Putra (29 Ogos-2 September dan Kompleks Tok Arau (C-Mart) pada 5 hingga 9 September depan.

-- BERNAMA