SUSULAN kejadian banjir kilat di beberapa negeri termasuk Selangor sejak Jumaat lalu, Agensi Antidadah Kebangsaan (AADK) menerusi Skuad Antidadah turun padang melaksanakan misi bantuan kepada penduduk yang terjejas banjir.

Bantuan itu dilaksanakan secara sukarela oleh Skuad Antidadah yang disertai oleh 53 orang termasuk pegawai AADK.

Menurut Ketua Pengarah AADK, Tuan Sutekno Ahmad Belon, usaha itu merupakan tanggungjawab sosial korporat (CSR) AADK untuk membantu mereka yang memerlukan dan meringankan beban yang dihadapi mangsa banjir.

“Selain komited dalam usaha membanteras penyalahgunaan dan penagihan dadah di negara ini, sukarelawan Skuad Antidadah juga prihatin terhadap masyarakat dan peka kepada isu semasa bencana yang berlaku khususnya di sekitar Selangor yang terlibat dalam kejadian banjir kilat.


BACA SEMUA BERHUBUNG BENCANA BANJIR 2021 DI SINI 



Atas dasar CSR, AADK menggerakkan Skuad Antidadah Daerah Kuala Selangor, Skuad Antidadah Daerah Hulu Langat, Skuad Antidadah Daerah Sepang dan Skuad Antidadah  Daerah Ampang ke beberapa lokasi bagi menghulurkan bantuan,” katanya di sini pada Selasa.

Tuan Sutekno menambah, operasi turun padang berkenaan melibatkan kawasan Taman Sri Muda, Seksyen 25, Shah Alam; Batu 14 dan Sungai Lui di Hulu Langat serta Pusat Pemulihan Penagihan Narkotik (PUSPEN) Sepang.

Dalam misi bantuan tersebut, jelas Tuan Sutekno, Skuad Antidadah bersama jabatan dan agensi penguatkuasaan, berganding bahu menjalankan operasi menyelamat dan mengeluarkan mangsa terperangkap menggunakan bot penyelamat termasuk mengagihkan makanan, barangan asas dan membersihkan rumah penduduk yang terjejas akibat banjir.

Ini termasuklah, menjalankan kerja-kerja sukarelawan menyediakan makanan di Pusat Penjaja Dengkil.

Sementara itu, dalam perkembangan berlainan, pasukan AADK Wilayah Persekutuan dengan kerjasama Kelab Rekreasi dan Sosial AADK WP juga mengambil inisiatif turun padang membersihkan kediaman rakan setugas yang terjejas banjir kilat di Taman Nanding, Hulu Langat, Selangor pada Isnin lalu.

Pihak AADK dengan kerjasama Skuad Antidadah sentiasa komited membantu dan memastikan kesejahteraan masyarakat dalam apa jua bentuk kecemasan dan bencana yang berlaku.