SHAH ALAM: Menteri Komunikasi dan Digital Fahmi Fadzil mengingatkan umat Islam di negara ini untuk hanya merujuk kepada sumber rasmi termasuk saluran televisyen tempatan bagi pengumuman tarikh 1 Syawal dan sambutan Aidilfitri.

Beliau berharap masyarakat di negara ini tidak mudah percaya atau termakan dengan sebarang sebaran yang dibuat di media sosial mengenai tarikh itu.

"Pengumuman kita yang terpakai hanya yang diumum oleh Penyimpan Mohor Besar Raja-Raja... jangan kita ambil tarikh dari Indonesia atau Emiriah Arab Bersatu dalam TikTok atau WhatsApp... kita perlu rujuk saluran rasmi maklumat yang disampaikan itu...

" ...yang penting, rujuk yang rasmi, tak pasti, jangan kongsi, itu peringatan saya kepada semua," katanya ketika berucap pada Majlis Anugerah Usahawan Gempak 2023 di Stadium Malawati malam tadi.

Terdahulu, Fahmi menzahirkan penghargaan kepada Kerajaan Negeri Selangor dan Perbadanan Teknologi Maklumat Ekonomi Digital Selangor (Sidec) kerana menganjurkan anugerah itu bagi mengiktiraf usahawan tempatan atas jasa yang disumbangkan kepada ekonomi negara.

"InsyaAllah, saya akan minta pihak Perbadanan Ekonomi Digital Malaysia (MDEC) bekerjasama lebih erat dengan Sidec untuk pastikan kita ada sinergi kerana kita ingin pastikan Selangor mampu menjadi contoh kepada negeri lain juga kepada kerajaan Persekutuan untuk menjadikan Malaysia sebagai hab bagi ekonomi digital," katanya.

-- BERNAMA