Pengundian awal bagi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Pengkalan Kubor yang melibatkan 109 anggota polis berlangsung di satu saluran di Dewan Delima Ibu Pejabat polis Daerah Tumpat di sini, bermula 8 pagi hingga 3 petang, hari ini.

Menurut Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) pengundian awal itu dibuat lima hari lebih awal dan proses pengundian itu adalah mengikut kaedah pengundian biasa dengan dikendalikan petugas SPR.

Daftar pemilih yang digunakan untuk PRK itu adalah Daftar Pemilih Induk (DPI) 2013 dan digabungkan dengan Daftar Pemilih Tambahan Suku Pertama Tahun 2014 yang telah dikemas kini sehingga 20 Ogos lepas.

DUN Pengkalan Kubor mempunyai sebanyak 24,039 pemilih berdaftar, terdiri daripada 23,929 orang pengundi biasa, 109 orang pengundi awal dan seorang pengundi tidak hadir (luar negara).

PRK itu diadakan berikutan kematian penyandangnya daripada Barisan Nasional(BN) Datuk Noor Zahidi Omar pada 20 Ogos lepas.

PRK DUN itu pada Khamis ini, menyaksikan pertandingan tiga penjuru antara calon BN Mat Razi Mat Ail, calon PAS Wan Rosdi Wan Ibrahim dan calon Bebas Izat Bukhary Ismail Bukhary.

Pada Pilihan Raya Umum ke-13, Allahyarham Noor Zahidi mengalahkan calon PKR Saharun Ibrahim dan Izat Bukhary (Bebas) dengan majoriti 1,736 undi.