SEREMBAN: Orang ramai yang berkunjung ke destinasi pelancong di Negeri Sembilan diingatkan agar terus mematuhi prosedur operasi standard (SOP) ditetapkan kerajaan bagi mengekang penularan wabak COVID-19 di negeri ini.

Ketua Polis Negeri Sembilan Datuk Mohamad Mat Yusop berkata meskipun kes COVID-19 di negeri ini sudah mulai menurun, namun pihaknya bimbang disebabkan kealpaan orang ramai susulan pengoperasian semula sektor sosial dan ekonomi, menyebabkan kes kembali meningkat.

"Orang ramai dibenarkan beriadah berikutan peralihan negeri ini ke Fasa Tiga Pelan Pemulihan Negara (PPN) namun mereka diingatkan agar tidak bersesak-sesak di tempat tumpuan dan menjaga penjarakan fizikal.

"Setakat ini, laporan yang saya terima daripada polis Port Dickson dan penguat kuasa di daerah itu keadaan masih terkawal namun perlu pemantauan di setiap lokasi tumpuan bagi memastikan SOP dipatuhi," katanya kepada pemberita di pejabatnya di sini, hari ini.

Beliau berkata pihak polis bersama Pihak Berkuasa Tempatan (PBT) juga melakukan pemantauan bagi memastikan orang ramai terus mematuhi SOP yang ditetapkan.

Justeru, beliau menyeru semua masyarakat di negeri ini agar lebih bertanggungjawab dan bersama-sama berperanan untuk mengekang penularan COVID-19.

Beliau berkata demikian susulan beberapa gambar serta video di media sosial menunjukkan orang ramai mula beriadah bersama keluarga di lokasi tumpuan di negeri ini seperti di pantai Port Dickson.

-- BERNAMA