BUTTERWORTH: Seorang peniaga mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini hari ini atas pertuduhan menipu seorang lelaki dengan mengaku sebagai pembantu peribadi kepada bekas Timbalan Menteri Kewangan Datuk Seri Ahmad Maslan sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang sebanyak RM50,000.

Kamarul Ramizu Idrus, 54, didakwa menipu Abdul Hadi Abd Majid, 34, dengan memperdaya mangsa kononnya dia akan mengambil tindakan ke atas Abdul Hadi yang dikatakan terlibat dalam skim pelaburan emas sehingga menyebabkan mangsa menyerahkan wang itu.

Dia didakwa melakukan perbuatan itu pada 6 Julai 2015 mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan dibaca bersama Seksyen 28(1)(a) Akta Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) 2009.

Tertuduh berdepan hukuman maksimum penjara 10 tahun dan dengan sebatan dan boleh juga didenda mengikut Sekyen 420 Kanun Keseksaan, jika sabit kesalahan.

Hakim Norhayati Mohamad Yunus membenarkan Kamarul Ramizu, yang tidak diwakili peguam, diikat jamin RM40,000 dengan dua penjamin serta mengenakan syarat tambahan agar tertuduh menyerahkan dokumen perjalanan kepada mahkamah serta melapor diri di pejabat SPRM setiap bulan.

Kes itu, yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Mohamad Azlan Basri dan Pegawai Pendakwa Siti Mastura Zakaria, ditetapkan untuk pengurusan kes pada 10 Dis.

-- BERNAMA