MELAKA: Seorang peniaga wanita mendakwa kerugian RM10,650 kerana ditipu dalam urus niaga barang kemas yang ditawarkan melalui laman sosial Instagram, Ahad lepas.

Ketua Jabatan Siasatan Jenayah Komersial negeri, Supt E Sundra Rajan berkata, usahawan dalam talian berusia 42 tahun itu mendakwa berhubung dengan suspek melalui aplikasi WhatsApp dan bersetuju membeli seutas rantai leher berharga RM1,800.

"Keesokannya pengadu telah membuat pembayaran sebanyak RM1,850 ke dalam akaun suspek termasuk caj penghantaran.

"Selepas pembayaran dibuat, suspek kemudian menawarkan diskaun sebanyak 10 peratus kepada mangsa sekiranya dia membuat pembelian emas yang harganya melebihi RM5,000," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Tertarik dengan tawaran itu, mangsa kemudiannya menambah pembelian barangan kemas iaitu masing-masing tiga utas rantai leher dan tiga utas gelang tangan berharga RM11,150 dan selepas ditolak diskaun mangsa dimaklumkan hanya perlu membayar RM8,800.

"Selepas pembayaran dibuat mangsa dijanjikan barangan kemas tersebut akan dikirimkan dalam masa terdekat, namun hingga kini tempahan tidak diterima selain suspek turut gagal dihubungi," katanya, menambah semakan polis mendapati ada dua laporan berkaitan akaun bank suspek serta 23 laporan membabitkan nombor telefon yang digunakan oleh suspek.

Mangsa membuat laporan di Balai Polis Jasin semalam dan kes disiasat mengikut Seksyen 420 Kanun Keseksaan kerana menipu.

-- BERNAMA