PUTRAJAYA: Penggunaan alat timbang neraca (ATN) untuk menyukat barangan jualan khususnya bahan mentah akan ditukar kepada alat timbang digital bermula tahun depan, kata Menteri Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN), Datuk Seri Salahuddin Ayub.

Salahuddin menjelaskan, sudah tiba masanya industri perniagaan runcit dan pasar raya menggunakan alat timbang digital.

Beliau juga menjelaskan, sistem timbang digital berkenaan akan dilaksanakan secara berperingkat dan akan memberi masa satu tahun kepada pihak berwajib untuk mengadakan beberapa siri perbincangan.

"Pendekatan 'soft landing' turut akan diadakan supaya tempoh satu tahun itu kita dapat laksanakan sepenuhnya sistem digital berkenaan.

"Sesi libat urus perlu diadakan bagi melihat daripada segi bekalan sama ada cukup ataupun tidak dan harganya supaya pihak peniaga dan pengguna mereka ada masa yang sesuai untuk beralih kepada sistem digital berkenaan sepenuhnya," katanya.

Beliau berkata demikian ketika sidang media selepas merasmikan Majlis Sambutan Hari Metrologi 2023 pada Ahad.

Salahuddin berkata, beliau berharap pasukan penguatkuasaan KPDN juga dapat melakukan sesi libat urus dengan pihak metrologi bagi pelaksanaan sistem sukatan baru berkenaan.

"Jika tempoh masa setahun berkenaan tidak mencukupi untuk beralih ke sistem baru itu, kita akan lakukan kajian lebih mendalam dan akan dibincangkan secara tuntas bagi memastikan keperluan asas mesin itu dapat disediakan.

"Mengikut laporan metrologi diperingkat antarabangsa memang kita kena akui bahawa mesin elektronik atau digital berkenaan dan ketepatannya tidak boleh dipertikaikan dibandingkan dengam mesin ATN," katanya.

Katanya, Malaysia tidak boleh ketinggalan dan akan pastikan hak-hak pengguna akan terus dapat pertahankan dengan secara bertahap dan satu hari nanti Malaysia akan menggunakan timbang digital sepenuhnya.

"Bagi penyediaan alat timbang elektronik atau digital berkenaan akan dibekalkan oleh beberapa syarikat yang telah didaftarkan oleh KPDN.

"Sementara itu, kapasiti bagi ATN adalah pelbagai dan antaranya ialah kapisiti 10 kilogram (kg), 20 kg, 30 kg dan 50 kg," katanya.

Tambahnya, data ATN yang ditentusahkan setahun di Malaysia sehingga 31 Disember 2022 ialah sebanyak 99,744 unit manakala jumlah ATN yang diluluskan ialah 99,729 unit.