KUALA LUMPUR: Proses penilaian risiko dan prosedur operasi standard (SOP) bagi perjalanan umrah, akan cuba dimuktamadkan menjelang pertengahan Februari ini.

Komitmen itu dizahirkan oleh Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin, dan Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya, Datuk Seri Nancy Shukri dalam satu kenyataan selepas mereka selesai mengadakan sesi libat urus dengan pemegang taruh industri tersebut hari ini.

Dalam kenyataan itu, Khairy dan Nancy melalui maklumbalas mereka, turut menyatakan komitmen untuk memperincikan dan memperhalusi setiap isu serta cadangan yang dikemukakan di peringkat kementerian masing-masing.

“Kedua-dua menteri dalam maklumbalas mereka telah menyatakan komitmen untuk memperincikan dan memperhalusi setiap isu serta cadangan yang dikemukakan di peringkat kementerian masing-masing sebelum membentangkan cadangan penambahbaikan kepada Mesyuarat Kuartet Menteri COVID-19 akan datang.

“Khusus bagi garis masa pembukaan semula perjalanan umrah, kedua-dua menteri komited untuk memuktamadkan proses penilaian risiko dan SOP perjalanan umrah menjelang pertengahan Februari tahun ini,” menurut kenyataan bersama Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) dan Kementerian Pelancongan, Seni, dan Budaya (MOTAC), hari ini.

BACA: COVID-19: Umrah ditangguh, 1,306 jemaah dikesan positif - Khairy 

[TERKINI] COVID-19 | Umrah ditangguhkan sementara

Pada 1 Januari lepas, Khairy memaklumkan keputusan kerajaan untuk menangguhkan sementara kebenaran perjalanan umrah bermula 8 Januari ini.

Beliau berkata, ia susulan sebanyak 1,306 daripada 11,108 jemaah yang pulang menunaikan umrah dikesan positif COVID-19, setakat 30 Disember 2021 lalu.

Tegasnya lagi, penangguhan sementara aktiviti umrah dijangka dapat membantu mengurangkan risiko penularan Omicron dalam negara dan memperlahankan peningkatan kes COVID-19.

Tedahulu, KKM dan MOTAC telah mengadakan sesi libat urus bersama Persatuan Agensi Pelancongan (UMRAH), bagi mendapatkan maklum balas berhubung hala tuju industri umrah. susulan daripada keputusan penangguhan sementara yang sedang berkuat kuasa.

Turut hadir ialah pengurusan tertinggi kedua-dua kementerian, wakil-wakil agensi persekutuan seperti Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) dan Jabatan Imigresen Malaysia.

Selain itu, ia turut disertai ahli Persatuan Syarikat Pengendalian Pelancongan Bumiputera Malaysia (BUMITRA), Persatuan Agensi Pelancongan Umrah & Haji (PAPUH), dan The Malaysian Association of Tour & Travel Agents (MATTA).

Antara perkara yang dibangkitkan oleh pemain industri pelancongan umrah, menurut kenyataan itu lagi, adalah SOP berkaitan pelaksanaan perjalanan umrah, isu bayaran balik dan penjadualan semula penerbangan.

Turut dibincangkan ialah perlindungan insurans, garis masa pembukaan semula perjalanan umrah dan bantuan pemulihan kepada industri pelancongan.

“Pihak Kerajaan amat prihatin dengan pelbagai cabaran yang dihadapi oleh pemain industri pelancongan negara.

“Sehubungan itu, kedua-dua kementerian berharap agar semua pemain industri dapat memberikan kerjasama sepenuhnya bagi memastikan aktiviti umrah dapat terus dilaksanakan dengan selamat,” menurut kenyataan itu lagi.