KUALA LUMPUR: Terdapat produk daripada syarikat berkaitan kerajaan (GLC) Malaysia yang dilarang dijual di Amerika Syarikat (AS) kerana disyaki terlibat dengan penindasan buruh migran.

Demikian menurut Adrian Pereira, Pengarah North South Initiative (NSI), sebuah badan bukan kerajaan berasaskan kepimpinan belia, yang mendakwa, perkara itu berlaku susulan Malaysia kekal berada pada tahap tiga (Tier 3) dalam Laporan Tahunan Jabatan Negara AS Mengenai Pemerdagangan Orang (US Tip Report) 2022.

"Terdapat beberapa syarikat Malaysia yang barangnya dilarang di jual di AS. Ini termasuk syarikat GLC sendiri.

"Jadi, kalau kerajaan menerusi GLC tidak boleh memastikan perburuhan paksa itu diatasi, apakah mesej yang kita hantar kepada syarikat-syarikat lain atau Industri Kecil dan Sederhana (SME) untuk mengatasi perburuhan paksa ini?" soalnya ketika ditemu bual Astro AWANI pada Ahad.

Jelas Adrian, perkara itu menunjukkan kerajaan perlu lebih bekerja keras dalam menangani isu buruh paksa yang didakwa berlaku.

Laporan yang dikeluarkan pada 20 Julai lalu mendedahkan, kerajaan Malaysia gagal mencapai piawaian minimum terhadap usaha menghapuskan pemerdagangan manusia serta tidak melakukan usaha yang ketara untuk berbuat demikian walaupun mengambil kesan wabak COVID-19 terhadap kapasiti anti-pemerdagangan negara.

Kali terakhir Malaysia mencapai Tier 2 adalah pada 2017 dan berada di senarai pemantauan Tier 2 dari 2018 sehingga 2020.

Adrian berpendapat, faktor yang turut menyumbang kepada kejadian buruh paksa juga adalah kurangnya pengetahuan pekerja tersebut akan hak dan undang-undang di Malaysia.

"Buruh migran harus faham apa itu undang-undang di Malaysia dan apa itu pemerdagangan manusia serta buruh paksa.

"Masalahnya, banyak industri di Malaysia mengupah buruh migran yang sangat kurang pendidikan di negara asal.

"Jadi, perkara-perkara asas seperti apakah talian untuk dihubungi jika berlaku penindasan, mereka mungkin tidak tahu atau tidak faham. Kebetulan, ramai menganggap penindasan itu perkara biasa," jelasnya.

Tambah Adrian, lebih banyak bengkel dan latihan perlu dibuat oleh pihak kerajaan melibatkan buruh migran serta pihak berkaitan daripada negara sumber.

Usaha ini, kata Adrian, dapat memberi gambaran jelas apakah hak buruh migran di negara ini, sekali gus mengurangkan kes buruh paksa dan pemerdagangan manusia.          

"Banyak latihan yang harus dilakukan oleh pihak kerajaan dan negara sumber, supaya buruh migran ini faham.

"Kemudian, barulah mereka boleh gunakan undang-undang dan juga talian bantuan yang disediakan kerajaan seperti Jabatan Buruh, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) dan Majlis Antipemerdagangan Orang dan Antipenyeludupan Migran (MAPO) untuk membuat aduan dan tuntutan," katanya. 

Buruh Paksa | Ada syarikat Malaysia, GLC dilarang jual produk di AS 

Selain Malaysia, negara lain turut berada pada tahap tiga ialah Afghanistan, Belarus, Brunei, Myanmar, Kemboja, China, Cuba, Iran, Korea, Rusia dan Macau.

Pada 2 Ogos lalu, Malaysia dilaporkan meminta AS menilai semula penarafan tersebut.

Perkara itu disuarakan Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob kepada Speaker Dewan Perwakilan AS Nancy Pelosi.