KUALA LUMPUR: Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah memaklumkan peningkatan kes harian sejak beberapa minggu ini menunjukkan jangkitan virus COVID-19 termasuk varian Delta sudah menular dalam komuniti.

Beliau berkata, sebanyak 199 kes varian Delta dikesan dalam komuniti sehingga kini.

"Varian Delta menyebabkan kadar jangkitan virus yang lebih cepat, agresif, dan kurang menunjukkan respons terhadap rawatan yang diberikan," katanya dalam kenyataan di sini, pada Jumaat.

Berikutan itu, katanya, Kementerian Kesihatan (KKM) menasihatkan orang ramai supaya sentiasa patuh dan kekal mengamalkan langkah-langkah pencegahan, mematuhi Prosedur Operasi standard (SOP) dan mendapatkan vaksinasi COVID-19.

Dalam pada itu, Dr Noor Hisham berkata, turut menunjukkan peningkatan adalah jumlah kluster jangkitan COVID-19 yang bertambah daripada 286 kluster dalam tempoh antara 23 Jun 2021 hingga 6 Julai 2021, kepada 347 kluster dalam tempoh antara 7 Julai 2021 hingga 20 Julai 2021.

Menurut Dr Noor Hisham, peningkatan seterusnya dilihat dalam tempoh antara 21 Julai 2021 hingga 1 Ogos 2021, membabitkan 401 kluster.

"Dalam tempoh sama, KKM mendapati bilangan kluster tempat kerja juga meningkat daripada 180 kluster kepada 204 kluster dan terkini adalah 213 kluster, manakala bilangan kluster komuniti juga meningkat dari 86 kluster kepada 91 kluster, dan terkini 142 kluster bagi tempoh sama.

"Peningkatan ini adalah susulan daripada saringan kontak rapat yang meluas. Selain itu, tahap kesedaran yang tinggi dalam kalangan masyarakat menyebabkan ramai yang menjalankan ujian kendiri atau pengesanan COVID-19 apabila bergejala atau mengetahui mereka adalah kontak rapat.

"Didapati kira-kira 70 peratus ujian RTK-Antigen dijalankan oleh agensi swasta," katanya.

Dalam pada itu, beliau berkata, bilangan kes di negara ini dijangka mula menurun pada akhir Ogos apabila lebih 40 peratus populasi di Malaysia mendapat dos lengkap vaksin.

Sementara itu, Dr Noor Hisham berkata, pelaporan peningkatan kes COVID-19 di Malaysia seiring dengan peningkatan kes secara global.

Beliau berkata, ketika ini, kadar insiden tertinggi purata kes tujuh hari antara 31 Julai hingga sehingga 6 Ogos bagi setiap 100,000 penduduk di Kuala Lumpur adalah 105.7; Selangor (101.5); Putrajaya (75.6); Negeri Sembilan (71.7); Melaka (53.8) dan Kedah (51.8).