Kawasan yang mempunyai peningkatan kes mendadak atau kluster baharu berkaitan COVID-19 perlu segera dikuatkuasakan Perintah Kawalan Pergerakan Diperketatkan (PKPD).

Pakar Kesihatan Awam, Jabatan Mikrobiologi dan Parasitologi Perubatan, Universiti Putra Malaysia (UPM), Prof Madya Dr Malina Osman berkata, tindakan itu bagi mengawal penularan jangkitan dengan lebih cepat dan berkesan.

"Cadangan pelaksanaan PKPD memandangkan terdapat lonjakan kes yang mendadak. Ia perlu dijuruskan kepada tempat yang berlaku peningkatan kes atau mengikut kluster.

"Perkara ini perlu dijuruskan kepada tempat yang terlibat dan tindakan itu perlu disegerakan," katanya menerusi Buletin AWANI pada Rabu.


Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah pada Selasa mendedahkan kes baharu positif COVID-19 di negara ini melonjak kepada tiga digit iaitu 100 kes berbanding 62 kes pada hari sebelumnya.

Dalam pada itu, Malina berkata, pihaknya tidak menolak akan ada kluster baharu selepas melihat pola jangkitan terbaharu.

Sehubungan itu, beliau meminta semua pihak untuk terus menjadikan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) sebagai senjata utama dalam kebiasaan baharu.

"Jika langkah SOP tidak diberi tumpuan sepenuhnya, ia dijangka akan terus meningkat.

"Oleh itu, kita perlu berganding bahu agar semua SOP yang ditetapkan terus dilaksanakan penuh komitmen tanpa tolak ansur dan dapat elak berlaku kluster dan kes baharu," ujarnya.