ISKANDAR PUTERI: Seorang penjawat awam antara 13 individu ditahan dipercayai terlibat dalam sebuah pesta persendirian ketika serbuan di sebuah unit pangsapuri di sini, awal pagi Ahad.

Ketua Polis Daerah Iskandar Puteri, Asisten Komisioner Dzulkhairi Mukhtar berkata, bertindak atas maklumat dan risikan, dalam serbuan kira-kira jam 4 pagi itu, polis menahan 13 individu warga tempatan terdiri daripada 10 lelaki dan tiga wanita termasuk seorang penjawat awam berusia lingkungan 17 hingga 27 tahun telah ditahan.

“Pemeriksaan mendapati penganjur pesta persendirian ini telah mengajak kesemua suspek terlibat melalui aplikasi WhatsApp tanpa dikenakan sebarang bayaran.

“Dipercayai private party ini telah bermula pada Sabtu kira-kira jam 9 malam dan berakhir sehingga lewat pagi Ahad.

“Hasil ujian air kencing ke atas semua suspek mendapati sembilan lelaki dan dua wanita termasuk penjawat awam itu positif dadah jenis metamfetamin," katanya dalam kenyataan, hari ini.

Dzulkhairi berkata, kes disiasat di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952 dan melanggar (SOP) Perintah Pelan Pemulihan Negara (PPN 2021).

“Hasil semakan Sistem Pengurusan Rekod Jenayah (SPRJ) mendapati dua suspek mempunyai rekod berstatus dikehendaki atas kesalahan dadah di bawah Seksyen 15(1)(a) Akta Dadah Berbahaya 1952.

“Kesemua mereka yang ditahan dibawa ke Mahkamah Johor Bahru untuk permohonan reman,” katanya.