JOHOR BAHRU: Seorang penjawat awam dan seorang warga asing antara lima yang ditahan polis selepas didapati memiliki dadah, sepucuk pistol angin dan alat renjatan elektrik di sebuah rumah sewa di Taman Delima, Kluang, pada Khamis

Ketua Polis Daerah Kluang, Asisten Komisioner Low Hang Seng berkata, penahanan membabitkan lima individu terdiri daripada empat lelaki tempatan dan seorang perempuan warga asing, berusia antara 21 hingga 24 tahun

Kata Hang Seng, bertindak atas maklumat yang diperoleh, sepasukan polis dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ), Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Kluang telah membuat serbuan ke atas sebuah rumah sewa yang terletak di Taman Delima, Kluang pada jam 11 pagi.

Dalam serbuan itu, polis katanya, menahan kelima-lima individu terbabit selain menemukan sepucuk pistol angin bersama 320 biji peluru bebola besi, sebuah alat renjatan elektrik serta 127 botol berisi cecair dadah

Turut ditemukan ialah 26 biji pil kuda beserta dua paket berisi dadah disyaki pil kuda dan syabu di rumah berkenaan.

“Ujian saringan air kencing yang dibuat ke atas semua tangkapan turut mendapati tiga lelaki termasuk penjawat awam positif dadah jenis metamfetamin, manakala dua daripada suspek dikesan mempunyai rekod jenayah lampau.

“Kes disiasat mengikut Seksyen 8 Akta Senjata Api 1960 dan Seksyen 6 (1) Akta Bahan-Bahan Kakisan, Letupan dan Senjata Berbahaya 1958 beserta Seksyen 38A(1) Akta Dadah berbahaya 1952 dan Seksyen 15 (1) akta sama,” katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan hari ini.

Jelasnya, kesemua suspek telah ditahan untuk tindakan reman bagi siasatan lanjut.