KUALA LUMPUR: Peranan media, penjawat awam yang berintegriti dan rakyat perlu memainkan peranan dalam usaha untuk membina semula negara ini.

Menurut Pengasas Bersama Undi18, Tharma Pillai, ketiga-tiga institusi ini boleh menjadi ejen semak dan imbang kepada ahli-ahli politik dan kerajaan.

Tharma menjelaskan di negara maju, media memainkan peranan penting dalam menentang sebarang salah laku yang dilakukan oleh ahli politik.

"Kalau di negara yang telah membangun, kita panggil media sebagai the fourth estate, the fourth estate ini tujuannya untuk mempertahankan kepentingan rakyat dan membawa maklumat-maklumat penting untuk rakyat sedar apa isu yang berlaku supaya rakyat lebih faham dan lebih pengetahuan.

"Dengan lebih maklumat ini rakyat boleh memperjuangkan isu-isu yang penting dan mencabar kalau adanya kebatilan, adanya kemungkaran, adanya kekurangan yang berlaku.

"Maka ini adalah sistem yang wujud di negara-negara maju, yang patut kita letakkan. Bagi saya kalau kita nak cakap pasal pengadil, kita perlu perkuatkan institusi-institusi awam, menggunakan penjawat-penjawat awam yang elok, media yang elok dan rakyat sendiri perlu peka," katanya kepada Astro AWANI.

Beliau juga mengulangi pandangan bahawa penting untuk anak muda diberi ruang dalam sistem politik bagi tujuan membina semula negara ini.

Jelas Tharma, anak muda mempunyai keberanian dan perspektif baru yang sangat diperlukan untuk membaiki sistem negara yang telah rosak.

"Harapannya ialah dengan pembaharuan atau dengan semangat oleh anak muda kita boleh membawa satu revolusi atau satu reformasi ke dalam sistem yang sedia ada," katanya lagi.

Namun jelas beliau, kerjasama antara generasi baru dan lama amat penting untuk usaha membina semua negara kerana ia merupakan satu usaha bersama.