SEREMBAN: Penjawat awam diseru supaya memberikan tumpuan dalam menjalankan tugas masing-masing, selain mengelakkan kemalasan serta melawan rasuah, fitnah dan salah guna kuasa.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim yang membuat seruan itu berkata mereka juga diharap menjadi wakil kepada kerajaan dalam memberi penjelasan kepada orang ramai dalam sebarang perkara, sekali gus bertanggungjawab meletakkan negara di landasan yang betul.

"Penting kita tekankan adalah kemuafakatan dan komitmen, kita jalankan tugas dengan amanah, sebab itu dalam negara Malaysia Madani ini, saya tekankan supaya semua pimpinan dari atas ke bawah untuk memikul tanggungjawab yang tak boleh dimungkiri dan dikhianati.

"Negara pernah mencatat keadaan yang lebih baik walaupun tidak sepenuhnya cemerlang, tetapi merosot kerana budaya 'siapa yang ada kuasa, yang jadi Perdana Menteri, maknanya isteri dia, anak dia, keluarganya, kroninya, semua akan dapat habuan'.

"Jadi saya mohon penjawat awam berikan kerjasama dan sokonglah langkah selamatkan negara kita, kerana apa yang kita lakukan ini adalah untuk selamatkan negara kita daripada kecelaruan, jaga khazanah ini dengan penuh amanah," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Menteri kepada Penjawat Awam Negeri Sembilan yang turut dihadiri Menteri Besar Datuk Seri Aminuddin Harun, Menteri Pengangkutan Anthony Loke Siew Fook dan Ketua Setiausaha Negara Tan Sri Mohd Zuki Ali.

Sementara itu Anwar berkata negara tidak boleh diurus oleh individu yang mahu 'menyakau' harta rakyat, justeru tatakelola dalam mentadbir kerajaan perlu dilaksanakan dengan baik termasuk dengan kerjasama penjawat awam.

Perdana Menteri juga sekali lagi menegaskan bahawa Kerajaan Perpaduan yang ditadbirnya ketika ini bukan kerajaan anti Islam seperti yang didakwa beberapa pihak, malah peruntukan untuk agama Islam adalah lebih tinggi berbanding dahulu.

".. bantuan untuk sekolah agama rakyat yang dahulu dibatalkan, tetapi saya memilih berbeza, kita akan bantu semua sekolah agama rakyat. Di mana yang kata kita anti Islam?

-- BERNAMA