PUTRAJAYA: Pegawai perkhidmatan awam yang terlibat dengan aktiviti kesukarelawanan tugas-tugas pasca banjir dianggap menjalankan tugas rasmi dan layak menerima elaun dan kemudahan yang berkelayakan.

Perkara itu dinyatakan dalam surat edaran 'Pelaksanaan Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam Bagi Pengurusan Pasca Banjir' bertarikh 17 Mac 2023 yang ditandatangani Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Dr Zulkapli Mohamed.

Edaran itu menyatakan mesyuarat pasca Kabinet Jabatan Perdana Menteri Bil 8 Tahun 2023 bertarikh 17 Mac telah memutuskan menggerakkan semula Pasukan Sukarelawan Penjawat Awam (PSPA) dari semua kementerian, jabatan, agensi bagi menguruskan pasca banjir untuk digerakkan ke kawasan-kawasan terjejas.

Edaran itu turut menyatakan pegawai yang menyertai ativiti kesukarelawanan tugas-tugas pasca banjir dilindungi oleh Skim Ex-Gratia Bencana Kerja Bagi Perkhidmatan Awam tertakluk kepada syarat di bawah Pekeliling Perbendaharaan W.P 6.3.

"Pihak kementerian, jabatan dan agensi adalah bertanggungjawab menguruskan tuntutan pegawai-pegawai yang terlibat tertakluk kepada peraturan-peraturan yang berkuat kuasa," menurut surat berkenaan yang turut diedarkan kepada semua Ketua Setiausaha kementerian.

Arahan yang dikeluarkan dalam edaran berkenaan adalah berkuat kuasa mulai tarikh surat itu dikeluarkan.

Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim hari ini melancarkan PSPA Pasca Banjir ke Johor yang disertai seramai 1,520 penjawat awam yang mewakili pelbagai kementerian, jabatan dan agensi kerajaan. Misi selama dua hari itu dikhususkan ke kawasan yang terjejas di sekitar daerah Batu Pahat.

Anwar pada pada 17 Mac lepas mengarahkan semua jentera kementerian membantu misi pasca banjir di Johor dengan RM150 juta peruntukan tambahan telah disegerakan oleh Kementerian Kewangan.

-- BERNAMA