AYER KEROH: Tindakan seorang pemuda melakukan rusuhan bersenjata sehingga mendatangkan kecederaan tujuh tahun lalu, membawa padah apabila dihadapkan ke Mahkamah Sesyen, di sini, hari ini.

Tertuduh Tan Boon Jin, 25, membuat pengakuan bersalah sejurus kertas pertuduhan terhadapnya dibacakan oleh jurubahasa di hadapan Penolong Kanan Pendaftar, Siti Khairiah Abdul Razak.

Mahkamah, bagaimanapun, menetapkan 22 Ogos ini bagi mendengar fakta kes dan hukuman.

Mengikut pertuduhan terhadapnya, tertuduh bersama individu yang masih bebas didakwa merusuh sehingga mendatangkan kecederaan dengan menggunakan senjata.

Kesalahan itu dilakukan di tepi jalan berhadapan sebuah restoran di Jalan Cheng Baru, Melaka Tengah kira-kira pukul 9 malam, 2 September 2015 lalu.

Justeru, tertuduh yang bekerja sebagai penjual buah-buahan di Singapura didakwa mengikut Seksyen 148 Kanun Keseksaan yang memperuntukkan hukuman penjara sehingga lima tahun, atau denda atau kedua-duanya sekali.

Terdahulu pendakwaan yang dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya Sharina Farhana Nor Sa’ari mencadangkan jaminan RM 7,000 diberikan terhadap tertuduh.

Tertuduh yang diwakili peguam, Kent Tan Chiw Teng, bagaimanapun, merayu jumlah berkenaan dikurangkan kepada RM 1,000 dengan mengambil kira anak guamnya memberi kerjasama sepanjang siasatan kes dilakukan.

Siti Khairiah pada penghakimannya kemudian membenarkan jaminan RM1,000 diberikan terhadap tertuduh sementara menunggu fakta kes dan hukuman pada 22 Ogos ini.