KUALA LUMPUR: Polis menahan seorang penjual ikan yang menjadikan kereta mewah dan banglo miliknya sebagai stor menyimpan dadah, dalam satu operasi di Selayang, Khamis lepas.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Shuhaily Mohd Zain berkata dalam operasi dari pukul 8.20 hingga 10.40 malam itu, polis merampas pil eramin 5 dan ekstasi seberat 77 kilogram (kg) dianggarkan bernilai RM 3.2 juta daripada lelaki berusia 41 tahun itu.

Beliau berkata dalam serbuan pertama, polis menahan lelaki berkenaan di sebuah kondominium di Selayang dan menemukan 10 biji pil ekstasi disembunyikan dalam beg silang dibawanya.

"Susulan soal siasat, polis dibawa ke sebuah kereta jenis Mercedez Benz dipercayai miliknya yang diletakkan di kawasan tempat letak kereta di kondominium berkenaan dan menemukan pil eramin 5 serta ekstasi seberat 20 kg yang disembunyikan dalam bonet kereta itu," katanya.

Bercakap dalam sidang media di Ibu Pejabat Polis Kontinjen Kuala Lumpur di sini hari ini, beliau berkata suspek kemudiannya membawa polis ke sebuah banglo di Batu Caves di sini, yang dijadikan sebagai stor bagi menyimpan pil-pil berkenaan.

"Di banglo berkenaan pihak kami telah menemukan pil eramin 5 seberat 57kg, dan bekalan pil berkenaan dipercayai diperoleh daripada negara jiran. Suspek juga disyaki mula bergerak aktif Januari lepas dan mengedar pil-pil berkenaan di sekitar Lembah Klang menggunakan perkhidmatan runner," katanya.

Shuhaily berkata polis turut merampas wang tunai RM21,000, dua kereta Mercedez Benz dan sebuah kereta Perodua Alza dianggarkan bernilai RM390,000, menjadikan jumlah keseluruhan rampasan sekitar RM3.6 juta

"Suspek direman sehingga 25 Mei depan dan kes disiasat mengikut Seksyen 39B Akta Dadah Berbahaya 1952," katanya.

-- BERNAMA