KOTA BHARU: Sebahagian penonton Konsert Riuh yang terkinja-kinja dengan tidak dapat mengawal perasaan kerana mengikut rentak lagu adalah tindakan di luar kawalan kerajaan negeri Kelantan.

Timbalan Menteri Besarnya, Datuk Mohd Amar Nik Abdullah berkata, apa yang berlaku di konsert berkenan mengecewakan kerajaan negeri, apa lagi berlaku di Kelantan.

Dalam masa sama, beliau memberitahu, kerajaan Kelantan tidak berhasrat mengharamkan konsert di negeri yang juga dikenali sebagai Serambi Mekah, sebaliknya, garis panduan yang lebih ketat akan dikenakan.

Antara peraturan yang sedia dikenakan, kata Mohd Amar ialah, pengasingan penonton lelaki dan perempuan selain persembahan sopan serta tiada pergaulan bebas.

“Kalau benda ini diikuti memang sudah memenuhi kehendak kerajaan, cuma reaksi penonton itu suatu benda yang kena diberi perhatian. Dan saya rasa benda ini pihak penganjurlah yang perlu beri perhatian.

"Maknanya dalam sepanjang perjalanan program itu sepatutnya penganjur melalui jurucakap acara ataupun sesiapa sahaja boleh memberi peringatan kepada penonton supaya menjaga kelakuan," kata Mohd Amar ketika ditemui di pejabatnya pada Rabu.

Beliau yang juga Naib Presiden Pas berkata demikian selepas diminta mengulas beberapa video yang menyaksikan penonton Konsert Riuh pada malam Sabtu dan Ahad lepas menari dan terhanguk-hanguk mengikut rentak muzik.

Video penonton yang berada di luar kawalan itu ditontonkan kepada beliau sebelum diminta mengulas mengenai perkara itu.

Antara artis yang membuat konsert di Program Riuh Sokmo edisi keempat Kembara Riuh Keluarga Malaysia ke Kelantan ialah kumpulan Wings, Azumi The Penthemix, Faizal Tahir dan lain-lain lagi.

Konsert diadakan di stadium mini Majlis Daerah Ketereh berlangsung bermula 16 hingga 18 September lepas.

Pada masa depan, Mohd Amar berkata, pihak berkuasa tempatan juga perlu memastikan setiap konsep persembahan atau lagu-lagu dipilih dengan dengan lebih cermat.

"Kalau lagu salah, lagu rock sebagai contoh, memang dia penyanyi dan penonton dia akan jadi macam terkinja-kinja. Tapi kalau lagu itu lagu yang biasa mungkin tak jadi terkinja kinja," ujarnya.

Mohd Amar berkata, tindakan penonton terkinja-kinja tempoh hari dianggap sebagai satu kesilapan dan meminta supaya ia perbetulkan pada masa akan datang.

Sehubungan itu, kerajaan Kelantan, tegas Mohd Amar, akan melihat kembali syarat-syarat kebenaran mengadakan konsert dan persembahan di negeri ini termasuk pemilihan lagu bagi mengelakkan kejadian seumpama itu berlaku lagi di masa depan.