Seorang pensyarah yang sangat mencintai bidang seni lukis, sanggup membelanjakan hampir RM30,000 semata-mata untuk memiliki dan membina galeri seninya sendiri.

Pemilik Ganu D'Art Gallery, Dr Abdullah Sani Kamaluddin, 59, berkata sejak berkarya 20 tahun lalu, beliau bercita-cita untuk mempunyai galeri seni, lebih-lebih lagi, belum terdapat anak tempatan yang menghimpunkan karya seni di bandar raya ini.

Ganu D'Art Gallery yang telah beroperasi tiga bulan lepas di sebuah premis tiga tingkat di Jalan Sultan Zainal Abidin di sini, mempamerkan 80 hasil karya beliau dan pengkarya tempatan, sekali gus menjadi galeri seni lukis pertama di sini.

"Sebenarnya idea (mewujudkan galeri) saya ini sudah lama, semasa saya bekerja dengan Perbadanan Memajukan Iktisad Negeri Terengganu (SEDC) lagi ... tetapi tidak kesampaian," katanya ketika ditemui Bernama, baru-baru ini.

Hasil karya seni beliau yang lebih berkonsepkan keindahan alam semesta dan abstrak itu sudah menghasilkan kira-kira 200 karya bermutu.

Malah, Dr Abdullah yang kini berkhidmat sebagai pensyarah sambilan di Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) juga pernah menganjurkan beberapa pameran seni lukis solo di Kelantan dan Terengganu.

Beliau yang pernah menjadi pereka selama 24 tahun, ketika berkhidmat di SECD, telah memperoleh lebih RM100,000 hasil jualan karyanya dan wang tersebut disumbangkan ke rumah anak yatim dan Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim).

Mengimbau pengalamannya, Dr Abdullah berkata beliau telah berhijrah ke Kota Baru, Kelantan untuk menjadi pensyarah di Fakulti Teknologi Warisan di Universiti Malaysia Kelantan (UMK), selepas berhenti dari SEDC.

Katanya, semasa di Kota Bahru beliau terpaksa menyewa dewan hotel yang menelan kos sehingga RM3,000 untuk mengadakan pameran seni lukis untuk tempoh tiga hari.

"Oleh sebab saya tidak mampu untuk menyewa, saya mengambil keputusan daripada mempamerkan lukis di hotel-hotel, adalah lebih baik mewujudkan galeri sendiri," katanya yang kini membayar sewa RM800 sebulan bagi operasi galeri miliknya itu.

Katanya Ganu D'Art Gallery, bukan sahaja dijadikan sebagai tempat mempamerkan lukisan, malah turut dijadikan studio melukis.

Sebagai perancangan tahun depan, Dr Abdullah yang juga anak kelahiran Kampung Batu Burok, Kuala Terengganu berkata beliau akan menyewa tingkat satu premis yang sama untuk menganjurkan kelas melukis kepada pelajar sebagai asas untuk menceburi bidang seni.

"Pelajar-pelajar yang masuk universiti dan ambil bidang rekaan memang tidak ada asas langsung dalam bidang melukis, ini yang menyulitkan mereka," katanya mengakui bahawa pasaran hasil seni di Terengganu mempunyai potensi besar berikutan penganjuran Tahun Melawat Terengganu (TMT), tahun depan.

Katanya lukisan di Ganu D'Art Gallery berharga antara RM100 (tanpa bingkai) hingga RM6,000 bergantung kepada kualiti sesebuah lukisan itu.

"Kami juga menyediakan poskad rumah-rumah Terengganu untuk dijual kepada orang ramai," katanya sambil menambah mereka yang berminat mendapatkan maklumat lanjut mengenai galeri beliau boleh menghubungi talian 012-9218877.