PONTIAN: Kekurangan bekalan ayam standard di pasaran ketika ini membuka rezeki kepada penternak ayam kampung atau organik terutama daripada golongan belia untuk meningkatkan pendapatan.

Ini kerana pengguna mula beralih kepada ayam kampung sebagai alternatif, memandangkan ia mudah diperoleh kerana diternak secara kecil-kecilan di kawasan kampung.

Penternak ayam kampung kacuk di Kampung Parit Haji Salleh, Sanglang di sini, Hafizul Alief Abu Bakar, 31, mengakui tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan yang mula meningkat 100 peratus.

"Sebelum ini, jualan ayam kampung hanya 1,000 ekor tetapi sekarang meningkatkan kepada 2,000 ekor sejak berlakunya krisis bekalan ayam standard di pasaran bermula sejak Ramadan lalu.

"Ayam kampung di reban yang akan sampai tempoh matang pada bulan depan sudah pun ditempah pelanggan.

"Peningkatan tempahan ayam kampung dijangka berterusan memandangkan selepas ini Aidiladha. Ayam kampung menjadi pilihan pengguna kerana isinya yang pejal dan lembut selain tidak disuntik," katanya.

Bagi Mohd Nazri Anuar, 28, yang menternak ayam kampung di Kampung Tengah Ayer Baloi, dia tidak menang tangan memenuhi permintaan pelanggan terutama dari Johor Bahru dan Melaka.

"Tempahan ayam kampung meningkat sebanyak 1,000 ekor sebulan pada ketika ini berbanding hanya 500 ekor sebelum ini.

"Jualan ayam kampung yang meningkat sejak Ramadan memberi rezeki buat saya yang sudah 10 tahun menternak ayam," katanya.

Sementara itu, seorang lagi penternak ayam kampung, Mohd Nur Adzwan Mahamad, 38, pula perlu lebih kerap ke Johor Bahru dan Pasir Gudang untuk menghantar bekalan ayam kampung yang ditempah pelanggan secara dalam talian atau tunai bayar waktu terima (COD).

"Permintaan ayam kampung agak tinggi ketika ini. Dulu hanya sekitar 40 ekor ayam dijual dalam tempoh seminggu sekarang cecah 100 ekor seminggu.

"Pelanggan dari Johor Bahru dan Pasir Gudang menempah secara COD bagi ayam kampung yang sudah siap siang dan dibersihkan selain ada juga ayam kampung sejuk beku," katanya.

Jelasnya, ayam kampung kacuk mengambil akan matang pada tempoh 60 hari dengan berat antara 1.5 kiloram hingga dua kilogram dijual pada harga sekitar RM15 sekilogram," katanya.

* Artikel asal disiarkan di Sinar Harian.