DUNGUN: Dua penternak kerugian hampir RM30,000 apabila tujuh ekor lembu peliharaan mereka hilang disyaki dicuri oleh beberapa individu.

Romi Daud, 48, kehilangan lima ekor lembu manakala rakannya Mohd Nasarul Naim Mohd Nasir, 41, kehilangan dua ekor lembu.

Menurut Romi, dia kehilangan seekor lembu jantan serta empat ekor betina dewasa berusia lingkungan 3 tahun.

Kejadian di Kampung Paya Hutan, Paka, Dungun, itu disedari kira-kira jam 7 pagi Jumaat.

"Malam itu tidak boleh nak tidur, terdengar bunyi orang heret lembu, tapi masa itu saya tidak mensyaki apa-apa.

"Pagi keesokan hari apabila saya mahu beri makan kepada lembu saya, tengok lembu sudah tiada," katanya.

Manakala rakannya, Mohd Nasarul kehilangan dua ekor lembu yang ditambat di hadapan rumahnya.

"Saya tidak perasan lagi lembu saya hilang, pagi itu jiran saya panggil, dia kata lembu dia hilang.

"Apabila saya periksa, baru saya perasan lembu saya juga hilang. Memang ada orang ambil kerana lembu itu tidak akan terlepas ke mana-mana," katanya.

Sementara itu Ketua Polis Daerah Dungun, Supt. Baharudin Abdullah ketika dihubungi mengesahkan menerima laporan kejadian berkenaan.

Kes disiasat mengikut Seksyen 379 Kanun Keseksaan kerana mencuri.