KANGAR: Menteri Kesihatan, Khairy Jamaluddin menjelaskan bahawa kesan daripada peningkatan penyakit tidak berjangkit atau non-communicable diseases (NCD) sudah boleh dilihat di negara ini yang mana ia turut ditambah dengan penuaan usia populasi.

Situasi itu, menurutnya, akan menyebabkan sebahagian besar populasi di Malaysia akan terlibat dengan pelbagai faktor risiko dan morbiditi seperti obesiti serta diabetes.

Jelas beliau, berdasarkan statistik Tinjauan Kesihatan dan Morbiditi Kebangsaan (NHMS) 2019, satu daripada lima orang dewasa di negara ini menghidap diabetes.

Ia bersamaan sekitar 3.9 juta individu atau 18.3 peratus daripada keseluruhan populasi dewasa di negara ini.

Beliau turut memaklumkan, peningkatan angka berkenaan jika dibandingkan dengan tahun 2015 agak membimbangkan, ditambah dengan tahap kesedaran rakyat yang masih berada pada tahap rendah.

"Kita pada tahun 2030, kita akan menjadi masyarakat yang menua. Maksudnya rakyat Malaysia yang berusia 60 tahun ke atas akan jauh melebihi rakyat Malaysia yang berusia 15 tahun ke bawah.

"Kita akan jadi populasi dewasa, ditambah pula dengan masalah penyakit tidak berjangkit ataupun masalah penyakit kronik.

"Malaysia morbiditi obesiti nombor satu di Asia Tenggara.. Malaysia dari segi kencing manis nombor satu di Asia Tenggara.

"Kalau kita tidak cegah perkara itu dan mengamalkan gaya hidup yang sihat, selain mengurangkan segala perkara yang menyebabkan masalah kesihatan yang akan memberi kesan kepada sektor sosial dan ekonomi, kita akan berhadapan dengan krisis kesihatan dalam masa 10 tahun akan datang," ujar beliau.

Khairy berkata demikian ketika menyampaikan ucapan pada Majlis Pelancaran Karnival Jelajah Agenda Nasional Malaysia Sihat (ANMS) Peringkat Negeri Perlis di Dataran Dato Sheikh Ahmad, Kangar pada Sabtu.

Dalam perkembangan sama, beliau menyatakan, kesihatan tidak hanya boleh diukur melalui fizikal sahaja sebaliknya perlu dilihat dari sudut penjagaan mental.

Masalah berkenaan dilihat semakin meningkat serta membimbangkan terutama ketika berlakunya penularan wabak COVID-19 dan pascanya, termasuk dalam kalangan petugas-petugas barisan hadapan.

Sehubungan itu, Kementerian Kesihatan Malaysia (KKM) akan menggerakkan pelbagai inisiatif termasuk penganjuran ANMS bagi memastikan masalah membabitkan kesihatan mental 'tidak terlepas pandang'.