KOTA BHARU: Kerajaan negeri Kelantan memaklumkan penukaran paip lama kepada paip baharu mengambil masa lama kerana melibatkan pelbagai agensi dan syarikat utiliti.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Infrastruktur, Pengangkutan dan Utiliti, Datuk Azami Mohd Nor berkata,  penukaran paip lama yang berada di dalam tanah juga memerlukan kelulusan daripada pelbagai agensi utiliti dengan proses kelulusannya yang juga mengambil masa.

"Januari tahun 2021, memohon geran sebanyak RM1.3 bilion bagi kita laksanakan kerja tukar paip lama dan uzur.

"Dan RM1.3 bilion ini bukan kita nak sekali gus tapi berperingkat, yang mana penukaran paip itu melibatkan banyak agensi kerajaan.

"Sebagai contoh, pada 2018 kita berjaya menyiapkan lebih kurang 50 daripada 100 kilometer lebih kerana melibatkan banyak agensi.

"Ini kerana sebahagian besar kabel berada bawah jalan, jadi kita memerlukan kelulusan pihak berkenaan dan ia memerlukan jangka masa panjang," kata Azami.

Tambah beliau, pihaknya mengenal pasti 4,006 kilometer daripada 8,161 kilometer paip lama yang memerlukan penggantian.

Bagi tujuan itu, kerajaan negeri telah membuat permohonan mendapatkan geran peruntukan daripada kerajaan pusat berjumlah RM1.3 bilion.

Permohonan itu dibuat pada awal Januari tahun lepas, namun masih belum mendapat kelulusan daripada kerajaan Persekutuan.

Azami juga memaklumkan Air Kelantan Sdn Bhd (AKSB) merekodkan sekitar 52 peratus air tidak terhasil (NRW) kerana masalah paip bocor dan uzur.

Ini bermakna, sekiranya AKSB mengeluarkan 100 peratus air, hanya 48 peratus yang sampai kepada pengguna, jelas Azami.

Kerajaan Kelantan melalui AKSB, katanya, komited untuk menyelesaikan masalah bekalan air bersih dan mengharapkan peruntukan itu dapat disegerakan.

Pada tahun ini, sejumlah RM68 juta peruntukan diluluskan bagi menukar paip sejauh 106 kilometer dan proses penukaran itu sedang berjalan.