BERA: Masih belum ada keperluan untuk menutup taska, tadika dan kelas prasekolah di Pahang walaupun jumlah kes penyakit tangan, kaki dan mulut (HFMD) melonjak sehingga lapan kali ganda dalam tempoh sama tahun lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kerja Raya, Pengangkutan dan Kesihatan Pahang, Datuk Seri Norolazali Sulaiman berkata, kebanyakan kes HFMD dari Januari hingga 18 Mei lalu yang dikesan di negeri ini bersifat sporadik dan jumlah penularan kes di taska dan tadika masih rendah.

Menurut beliau, berdasarkan penilaian risiko yang dilakukan Jabatan Kesihatan Negeri (JKN) Pahang juga mendapati kes tersebut masih dalam keadaan terkawal.

"Sehingga 18 Mei tahun ini sebanyak 1,744 kes dicatatkan iaitu lapan kali ganda bagi tempoh yang sama pada tahun lalu.

"Daripada jumlah itu, sebanyak 8.3 peratus atau 145 kes dikenalpasti berpunca dari penularan yang berlaku di pusat Pendidikan kanak-kanak seperti taska, tadika atau prasekolah. Manakala 91.7 peratus atau 1,599 Kes tersebar secara sporadik," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui pada Majlis Jalinan Kasih Aidilfitri Sukarelawan VN37 Bersama Warga Bera, di sini, semalam.

Majlis anjuran VN37 dengan kerjasama Pusat Khidmat Rakyat Dewan Undangan Negeri (DUN) Guai dan Persatuan Ketua-ketua Kampung Daerah Bera itu menerima lebih 5,000 pengunjung di seluruh daerah Bera.

Norolazali yang juga Adun Guai berkata, arahan penutupan premis terbabit hanya akan dilakukan sekiranya penilaian risiko oleh JKN Pahang mendapati jumlah penularan kes HFMD di negeri ini bertambah serius.

Sebelum ini, sebanyak 12 pusat jagaan kanak-kanak di Melaka sudah ditutup selepas mencatatkan 1,378 kes HFMD sehingga 14 Mei lalu.

Arahan penutupan itu dibuat mengikut Akta Pencegahan dan Pengawalan Penyakit Berjangkit 1988 kerana berlaku wabak HFMD di premis berkenaan.

"Jadi, ini mungkin salah satu asas pertimbangan untuk kita (kerajaan Pahang) untuk tidak menutup pusat-pusat ini kerana kita percaya, mereka boleh mengawal penularan wabak ini.

"Apa yang membimbangkan adalah pendedahan anak-anak ini ke kawasan yang sesak sehingga mendapat jangkitan tanpa sedar. Apa yang penting, jaga kebersihan diri, kerap basuh tangan dan kalau anak demam atau kurang sihat, jangan bawa ke tempat yang sesak dan ramai orang," katanya.

Beliau turut menasihatkan ibu bapa agar terus memantau tahap kesihatan anak mereka dan segera mendapatkan rawatan di klinik berhampiran jika dikesan mempunyai gejala penyakit itu.