JITRA: Menteri Kanan Pendidikan, Datuk Radzi Jidin menjelaskan, penularan kes COVID-19 melibatkan warga institusi pendidikan di bawah Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM) selepas pelaksanaan sesi pembelajaran secara bersemuka berada pada tahap terkawal.

Menurut beliau, capaian itu diperoleh selepas perbandingan yang dibuat daripada keseluruhan lebih 10,000 buah sekolah di seluruh negara, selain 69 buah Sekolah Berasrama Penuh (SBP), Institut Pendidikan Guru (IPG), Kolej Matrikulasi serta tadika-tadika swasta yang berada di bawah kelolaan kementerian itu.

Tambahnya, penularan COVID-19 dalam kalangan warga sekolah yang terlibat termasuk pelajar dan guru juga hanyalah berada pada kategori 1 (tidak bergejala) dan 2A (gejala ringan) memandangkan majoriti daripada mereka telah lengkap divaksinasi.

"Kalau kita lihat secara keseluruhan (sekolah yang terlibat dengan jangkitan COVID-19) jika dibandingkan dengan jumlah sekolah yang ada serta sekolah berasrama yang ada (di bawah KPM), kita lihat bahawa keadaan pada waktu ini masih lagi dapat kita pantau dengan cukup baik,

"Kita tahu ada kes tertentu (khususnya) dalam konteks (sekolah) asrama, (sekolah-sekolah) ini (daripada) peringkat awal (lagi) kita amat teliti SOP (prosedur operasi standard) sekolah itu.

"SOP di (sekolah) asrama merupakan antara SOP yang amat terperinci yang kita laksanakan kerana dari sudut risikonya apabila berlaku satu kes (ia dapat merebak dengan cepat)," jelas beliau.

Radzi berkata demikian dalam sidang media selepas Majlis Penyerahan Sumbangan Pendidikan Digital-AEON Sayap Bagimu di Institut Pendidikan Guru, Kampus Darul Aman di sini, pada Sabtu.

Pada Jumaat, seramai 24 pelajar lelaki Maktab Mahmud Sik disahkan positif COVID-19, selepas menunjukkan gejala sejak 28 November lalu.

Pengerusi Jawatankuasa Kesihatan Negeri Kedah, Datuk Dr Mohd Hayati Othman, berkata mereka adalah kes positif dalam kluster institusi pendidikan dikenali sebagai Kluster Dah Pelangi.

Terdahulu, Sekolah Seri Puteri di Cyberjaya diarahkan tutup sementara berikutan 135 kes baharu positif COVID-19 yang membabitkan warga sekolah berkenaan, kata Ketua Pengarah Kesihatan, Tan Sri Dr Noor Hisham Abdullah.