LIPIS: Berpantang maut sebelum ajal. Itu ungkapan yang dapat diberikan kepada dua mangsa kemalangan yang terselamat setelah kereta dinaiki mereka bertembung dengan sebuah bas ekspres di Kilometer 4, Jalan Lipis-Merapoh, di hadapan stesen Petron Tempoyang tengah malam Ahad.

Dalam kejadian yang berlaku pukul 12.50 tengah malam itu, pemandu kereta Honda City, Pang Chan Hoong tidak mengalami kecederaan manakala rakan yang menumpang kenderaan itu, Chan Whaiy Lii, cedera dan dihantar ke Hospital Lipis untuk rawatan.

Pemandu bas ekspres terbabit dan penumpangnya tidak mengalami sebarang kecederaan.

Ketua Polis Daerah Lipis, Superintenden Azli Mohd Noor berkata, siasatan awal mendapati, ketika kejadian, bas ekspres terbabit membawa penumpang dari Kuala Lumpur menghala ke Kelantan.

Jelasnya, apabila sampai di tempat kejadian, tiba-tiba kereta yang dipandu Chan Hoong telah keluar daripada arah stesen minyak Petron Batu Dua untuk menghala ke Kuala Lumpur.

“Kereta yang dipandu mangsa dipercayai singgah di stesen itu untuk mengisi minyak ketika dalam perjalanan dari Jeli, Kelantan pulang ke Kuala Lumpur.

“Akibat kemalangan tersebut, Chan Hoong selamat manakala penumpang di sebelahnya, Whaiy Lii mengalami kecederaan dan dihantar ke Hospital Lipis untuk menerima rawatan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Beliau berkata, bas ekspres terbabit mengalami kerosakan banpar, lampu hadapan dan pintu utama manakala kereta Honda City mengalami kerosakan teruk di bahagian hadapan.

Menurutnya, tempat kejadian berkenaan merupakan jalan lurus berturap, sistem jalan satu lorong dua hala serta berlampu dan keadaan cuaca baik.

“Kes kemalangan ini diklasifikasikan di bawah Kaedah-Kaedah Lalulintas Jalan 1959 (Peraturan R3(2)B LN 166.

“Saya menasihatkan pengguna jalan raya supaya lebih berhati-hati ketika memandu pada waktu malam kerana penglihatan agak terbatas dengan mengamalkan sikap berhemah di jalan raya,” jelasnya.