Penunggang motosikal berpaut pada pintu lori selepas dilanggar, isteri maut

Astro Awani
Mac 9, 2021 02:34 MYT
Anderson Antonio Pereira dilihat berpaut pada pintu lori yang melanggar motosikal miliknya.
Seorang penunggang motosikal sanggup berpaut pada pintu sebuah lori sejauh 11 kilometer selepas terlibat dalam kemalangan di Brazil.
Dalam insiden pada Ahad di sebuah lebuh raya di Penha, Anderson Antonio Pereira, 49, bersama isterinya, Sandra, 47, sedang menunggang motosikal di Lebuhraya BR-101, Penha apabila mereka dilanggar dari belakang oleh lori tersebut.
Sandra maut dalam kejadian tersebut manakala Anderson mengalami kecederaan namun berjaya memanjat daripada motosikalnya ke pintu lori terbabit.
Difahamkan motosikal milik Anderson tersangkut pada bahagian bawah lori itu.
Pemandu lori tidak mengendahkan rayuan Anderson untuk berhenti dan hanya berbuat demikian selepas dipaksa oleh pengguna jalan raya lain.
Siasatan awal mendapati pemandu berkenaan berada di bawah pengaruh dadah ketika kejadian.
Pemandu lori terbabit telah ditahan polis dan akan didakwa atas tuduhan membunuh.
Anderson kini menerima rawatan di Hospital Ruth Cardoso dan dilaporkan dalam keadaan stabil.
Isterinya pula dikejarkan ke hospital dengan menggunakan helikopter selepas kejadian namun meninggal dunia akibat kecederaan di kepala.
#kemalangan #motosikal #Lori #maut #Anderson Antonio Pereira #Sandra