GEORGE TOWN: Penunggang motosikal dan basikal yang menggunakan perkhidmatan feri menghubungkan Seberang Perai dan bahagian pulau di Pulau Pinang bakal menikmati diskaun 50 peratus bermula 1 Januari hingga 30 Jun tahun depan.

Pengerusi Suruhanjaya Pelabuhan Pulau Pinang (PPSB), Datuk Tan Teik Cheng berkata, potongan separuh harga tiket selama enam bulan pada tahun hadapan itu adalah untuk pengguna feri RORO bagi kenderaan beroda.

Jelasnya bagi tempoh itu, PPSB menanggung peruntukan RM58,333 sebulan atau keseluruhannya RM350,000.

"Pada masa sekarang, tambang feri yang dibayar oleh penunggang motosikal adalah RM2,manakala RM1.20 bagi penunggang basikal. Dengan diskaun 50 peratus ini, penunggang motosikal hanya perlu membayar RM1 manakala basikal 60 sen.

"Penggunaan RORO seperti biasa.. tambang akan ditolak diskaun secara automatik. Suruhanjaya berharap dengan pembiayaan 50 peratus pada ketika ini sedikit sebnyak dapat membantu mengurangkan beban kos perjalanan rakyat yang berulang alik menggunakan pengangkutan awam ini," ujar Teik Cheng.

Teik Cheng berkata, pemberian diskaun itu adalah selaras aspirasi Keluarga Malaysia, sekali gus dapat meringankan beban semua masyarakat yang terjejas akibat pandemik COVID-19.

Sebelum ini, kerajaan negeri bersetuju menyambung pembiayaan tambang feri bagi pengguna pejalan kaki warga Malaysia selama setahun lagi mulai 1 Januari tahun hadapan selepas dilaksanakan bermula Julai lalu.

Sementara itu, Teik Cheng berkata, kerajaan turut memperuntukkan RM30 juta bagi membeli lima buah feri baharu tahun ini dan tahun hadapan.

Peruntukan RM30 juta adalah bagi membiayai pembelian lima buah feri baharu oleh SPPP sahaja. Sebarang kerja menaik taraf terminal akan dilaksanakan oleh PPSB, semua kosnya ditanggung SPPP. Jika melebihi RM30 juta, PPSB perlu tanggung kos tersebut," jelas beliau.

Katanya, rancangan reformasi feri Pulau Pinang telah dilaksanakan dengan sempurna bagi memberi perkhidmatan yang lebih moden dan selesa demi kesejahteraan rakyat.

Ia sekali gus dapat dipertingkat serta merangsang bidang pelancongan dan ekonomi negeri.

Beliau berkata demikian pada sidang akhbar di Terminal Swettenham Pier Cruise di George Town pada Isnin.

Ketika ini, pejalan kaki menggunakan perkhidmatan feri bot laju sementara, manakala penunggang motosikal dan basikal menggunakan perkhidmatan RORO berasingan sebelum beralih kepada perkhidmatan katamaran atau bas air dan pengangkut kenderaan baharu yang dijangka bermula Julai tahun hadapan.

Ia bagi menggantikan perkhidmatan feri ikonik yang telah berusia yang akan dijadikan restoran dan muzium terapung oleh pihak swasta.